Selepas letak jawatan PM, Dr Mahathir berundur dari Bersatu


Pejabat Pengerusi Bersatu mengumumkan peletakkan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak lama selepas menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perletakan jawatannya diumumkan oleh Pejabat Pengerusi Bersatu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

“Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Surat tersebut telah dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu hari ini,” kata kenyataan itu. 

Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan Dr Mahathir dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 5 petang ini.

Dr Mahathir mengasaskan Bersatu pada September 2016 bersama beberapa bekas pemimpin Umno yang keluar atau dipecat daripada parti itu.

Empat bulan kemudian, Bersatu menyertai Amanah, PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk lebih awal pada 2015 sebagai ganti kepada gabungan pembangkang sebelum itu Pakatan Rakyat.

Gabungan itu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, sekaligus mengambil alih pentadbiran Malaysia buat kali pertama sejak Merdeka.

Perletakan jawatan Dr Mahathir dalam kerajaan dan parti politik hari ini menyusul selepas spekulasi sepanjang hujung minggu mengenai sebuah kerajaan baharu menggantikan PH.

Awal hari ini, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH.

Pada masa sama, 11 ahli Parlimen PKR termasuk timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar parti.

Pengumuman dibuat selepas pimpinan tinggi PKR membuat keputusan memecat mereka berdua daripada parti kerana beberapa tindakan yang bercanggah dengan parti.

Semalam, beberapa ahli Parlimen Bersatu bersama sekumpulan ahli Parlimen PKR yang menyokong Azmin, serta ahli Parlimen BN dan PAS menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Majlis makan malam itu berlangsung beberapa jam selepas siri mesyuarat dan pertemuan parti-parti politik di Kuala Lumpur yang mencetuskan spekulasi mengenai pertukaran kerajaan. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen