Maklum balas orang ramai hanya langkah ketiga sebelum keputusan dibuat, kata MB


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak akan membuat apa-apa keputusan tanpa mendengar semua pandangan daripada orang ramai berkenaan rancangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.

LANGKAH Kerajaan Selangor untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai rancangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat hanyalah langkah ketiga dari sembilan tahap sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan membuat apa-apa keputusan tanpa mendengar semua pandangan daripada orang ramai dan memperhalusi laporan teknikal yang merangkumi analisa kos faedah berkait dampak keputusan ini. 

“Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menjalankan proses penyiasatan awam berhubung status Hutan Simpan Kekal dan ini hanyalah langkah ketiga daripada sembilan tahap sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata beliau mengakui kritikan daripada Orang Asli, alam sekitar dan laporan berita mengenai rancangan pewartaan hutan simpan seluas 930 hektar bagi tujuan pembangunan.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk menghormati hak Orang Asli yang tinggal di hutan simpan dan berjanji untuk mencari jalan penyelesaian supaya penempatan mereka tidak akan terganggu.

Beliau juga berkata sebarang pewartaan keluar Hutan Simpan Kekal akan digantikan terus dengan pewartaan masuk Hutan Simpan Kekal dengan jumlah keluasan dan keadaan ekologi yang sama.

“Kerajaan negeri juga mensasarkan peratusan jumlah Hutan Simpan Kekal di negeri Selangor meningkat sebanyak 32 peratus menjelang 2025 berbanding sekarang pada 31 peratus yang meliputi kawasan kira-kira 250,209 hektar termasuk Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut,” katanya.

Pentadbiran Amirudin dikritik sejak cadangan pemansuhan status itu terdedah pada 5 Februari lalu apabila Jabatan Perhutanan Selangor meletakkan notis di akhbar utama negara menjemput pihak berkepentingan di Kuala Langat menyuarakan bantahan terhadap cadangan projek dalam tempoh 30 hari.

Kaum Temuan berkata rancangan itu akan memusnahkan 97% kawasan hutan simpan itu dan mengancam kehidupan dan identiti mereka selaku Orang Asli. – 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen