Audit Forensik temui 7 kesalahan dalam pentadbiran lama Nafas


Pembelian 40,000 tan metrik baja padi tanpa mengikut prosedur biasa pada 2017 daripada pembekal luar antara kesalahan dalam tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus Nafas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

AUDIT Forensik yang dijalankan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), menemui tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus institusi itu, sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50 juta.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas Phahrolrazi Mohd Zawawi mendedahkan penemuan itu berdasarkan hasil audit forensik, terhadap akaun-akaun institusi itu yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa pada Mei hingga September tahun lepas, melibatkan salah laku di bawah pentadbiran Ahli-Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu.

Katanya antara kesalahan tersebut adalah pembelian 40,000 tan metrik baja padi tanpa mengikut prosedur biasa pada 2017 daripada pembekal luar, dan tanpa prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan sampel untuk ujian makmal, serta pemeriksaan stok ketika baja dihantar oleh pembekal dan ketiadaan dokumen sokongan bagi pembelian tersebut.

“Kos pembelian ini adalah RM70 juta dan kita terpaksa simpan di stor yang mana kos sewanya sekarang sudah RM6 juta. Apabila baja ini dibeli tanpa mengikut speksifikasi, kita tidak boleh edar kepada peladang atau petani yang mendapat subsidi baja,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata baja yang disimpan itu memerlukan pemulihan dan pemprosesan semula mengikut spesifikasi yang betul dan ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi iaitu RM700 hingga RM800 untuk satu tan metrik. – Bernama, 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen