Waris MH370 mahu suruhanjaya siasatan yang 'ikhlas'


Ragananthini Vethasalam

Enam tahun berlalu, misteri kehilangan pesawat MH370 masih belum terungkai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

BEBERAPA waris mangsa MH370 tidak sependapat dengan idea mewujudkan suruhanjaya siasatan antarabangsa berhubung kehilangan penerbangan ke Beijing pada 2014.

Idea yang disuarakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam, susulan pendedahan bekas perdana menteri Australia Tony Abbott yang mendakwa pihak berkuasa Malaysia percaya kehilangan pesawat Malaysia Airlines adalah kes pembunuhan dan bunuh diri.

Lim berkata suruhanjaya siasatan antarabangsa perlu untuk mendedahkan perkara sebenar.

Intan Maizura Othaman, isteri pramugara, Mohd Hazrin Hasnan mempersoalkan kesungguhan Lim dalam menyuarakan cadangan itu.

“Saya tidak suka beliau bercakap kalau tidak benar-benar maksudkannya. Tarikh 8 Mac (ulang tahun) semakin hampir ... dan beliau hanya sekadar cakap sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

MH370 hilang bersama 239 orang penumpang dan krew pada 8 Mac 2014. Ia melencong dari laluan Kuala Lumpur-Beijing, beralih ke ruang udara Vietnam.

Trajektori terakhir yang diketahui daripada siasatan mendapati ia menuju ke arah Lautan Hindi Selatan selepas berlegar di sekitar Sumatera utara.

Lim berkata dakwaan Abbott, yang dibuat dalam dokumentari Sky News Australia, bahawa agar kerajaan Malaysia menyembunyikan fakta.

Intan enggan mengulas mengenai dakwaan Abbott mengenai kemungkinan kes itu adalah pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Beliau berkata jika suruhanjaya itu ditubuhkan, ia haruslah benar-benar ikhlas.

“Jika Lim mengajukannya dan mencadangkan agar kerajaan membuka semula kes itu dan benar-benar meneliti perkara ini, dan melakukannya dengan ikhlas, jadi mengapa tidak.

“Usaha untuk menubuhkan suruhanjaya dan orang-orang di dalamnya mestilah ikhlas, jika tidak, apalah gunanya,” kata Intan.

Seorang lagi waris, Selamat Omar, bapa penumpang Mohd Khairul Amri menyambut baik idea suruhanjaya siasatan.

“Saya bersetuju dengan Lim Kit Siang. Saya mengalu-alukan idea untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan kerana kami sudah lama menunggu mengenai perkembangan MH370,” katanya.

Jika suruhanjaya sedemikian akan ditubuhkan, ia mesti melibatkan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Australia, tambah Selamat.

“Pihak yang mendakwa berita itu (kemungkinan kes pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang) adalah kerajaan Australia, bukan Malaysia.

“Oleh itu, mereka (kerajaan Australia) perlu dipanggil untuk mengesahkan kesahihan maklumat itu,” katanya.

Selamat juga mempersoalkan mengapa Abbott hanya membuat pendedahannya sekarang.

“Kejadian itu sudah lama. Mengapa sekarang baru keluar?” katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak teori pembunuhan-bunuh diri yang dirancang oleh Kapten Zaharie dan berkata juruterbang itu adalah orang Islam serta lelaki yang mementingkan keluarga.

“Tidak masuk akal jika beliau mahu membunuh diri,” katanya.

Teori pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang berlegar semasa awal penyiasatan berikutan kehilangan MH370, dan muncul beberapa kali beberapa tahun ketika kegagalan penemuan konklusif mengapa pesawat itu lenyap, apa yang berlaku pada saat terakhirnya, dan di mana ia mendarat atau terhempas.

Laporan akhir Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai penyiasatan pesawat hilang itu menyimpulkan tiada bukti menunjukkan juruterbang atau pembantunya mengalami masalah hubungan yang membuatkan mereka bukan dalam keadaan baik untuk mengendalikan pesawat.

Bagaimanapun Abbott, mendakwa bahawa “ia difahamkan pada peringkat tertinggi kejadian itu hampir pasti adalah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang.”

Bekas perdana menteri Najib Razak, yang berkuasa semasa kejadian itu, dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, kedua-duanya berkata tiada bukti kukuh juruterbang membunuh diri, sebagai respons kepada dakwaan Abbott. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen