Kumpulan pro-Anwar nafi rancang demo desak peralihan kuasa


Kumpulan Jingga 13 Malaysia nafi satu demostrasi akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana malam ini untuk mendesak Dr Mahathir Mohamad menyerah kuasa kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

SEBUAH kumpulan pro-Anwar Ibrahim menafikan laporan bahawa satu demostrasi akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya malam ini untuk mendesak Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri.

Setiausaha Jingga 13 Malaysia Afzainizam Rahman berkata poster yang tular di media sosial mengenai demo itu fitnah dan palsu.

“Ini adalah satu usaha jahat dan tidak bertanggunjawab mereka yang semakin terdesak sehingga sanggup melakukan satu tindakan fitnah bagi tujuan merosakkan nama baik dan reputasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan individu-individu serta NGO yang berdiri teguh bersama beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Afzainizam, ia hanya permainan politik untuk merosakkan hubungan baik antara Dr Mahathir dan Anwar serta menggagalkan peralihan kuasa.

Semalam, satu poster tular di media sosial mengenai demonstrasi aman di Yayasan Kepimpinan Perdana malam ini, di mana Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat.

Demonstrasi bertujuan mendesak Dr Mahathir menyerah kuasa kepada Anwar.

Poster yang disebarkan lewat malam tadi menyatakan demonstrasi akan diketuai oleh bekas pemimpin PKR Ezam Mohd Nor, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Adun Ijok Dr Idris Ahmad.

Turut tertera pada poster berkenaan adalah gambar Fariz Muza dan aktivis Reformasi Khairul Anuar Ahmad Zainuddin. Poster tersebut menyebut demonstrasi akan bermula pada jam 7.30 malam.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan isu peralihan kuasa dan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan tahun ini.

Dr Mahathir sebelum ini berulang kali berkata akan melepaskan jawatan selepas sidangg Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November ini. Bagaimanapun, pihak yang menyokong Anwar mendesak peralihan kuasa dibuat lebih awal.

Bulan lalu, Leong bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dalam satu forum mendesak Dr Mahathir menyerahkan kuasa perdana menteri kepada presiden PKR itu pada Mei.

Anwar semalam menggesa penyokongnya supaya isu ini dihentikan. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen