919 pemandu mabuk ditahan tahun lepas, kata timbalan menteri 


Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar berkata akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.

SERAMAI 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk pada tahun lepas, meningkat seramai 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar berkata kerajaan akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk agar kemalangan jalan raya khususnya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dapat dikurangkan.

Beliau berkata pindaan yang melibatkan kajian pelbagai aspek antaranya hukuman lebih berat dan had kandungan alkohol dalam darah pemandu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai depan.

“Di peringkat kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semua yang terlibat dalam urusan meminda undang-undang ini telahpun digerakkan dan terdapat beberapa perkara yang kita kena perincikan.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol telah diperketatkan di beberapa negara serta peringkat antarabangsa dan kita berhasrat mengikut standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska JPJ Melaka di Melaka, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Sementara itu, Kamarudin berkata sebanyak 795 notis advokasi telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini.

Beliau berkata notis tersebut akan terus dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama selepas penggunaannya diwajibkan pada 1 Januari lepas bertujuan memberi nasihat, teguran atau amaran kepada ibu bapa agar menitikberatkan penggunaan CRS dalam kenderaan demi keselamatan anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober lepas mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari lepas.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017. – Bernama, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen