Kelantan diberi peluang anjur Sukma buat pertama kali pada 2024


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Kelantan akan menerima pembangunan dan infrastruktur sukan bernilai ratusan juta apabila ditawarkan peluang menganjur Sukma 2024. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.

KELANTAN dijangka menerima pembangunan dan infrastruktur sukan bernilai ratusan juta apabila ditawarkan peluang menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) buat kali pertama pada 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata, negeri pantai timur itu selama ini telah ‘dianaktirikan’ daripada menerima bantuan dana pembangunan sukan sebagai penganjur Sukma.

“Secara prinsipnya perkara itu telah dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma hari ini. Tetapi untuk diputuskan secara rasmi, saya akan bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pandangan mereka, khususnya Unit Perancangan Negeri (EPU).

“Saya juga berasa perlu ada pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob bersama Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad). Ini juga peluang terbaik untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkolaborasi dengan kerajaan negeri membina kemudahan sukan di Kelantan.

“Kalau kita bandingkan kemudahan sukan di Kelantan jauh ketinggalan dengan negeri lain, kerana masih tiada kemudahan yang asas seperti pusat akuatik. Peruntukan menganjurkan Sukma juga bukan kecil, Johor (2020) dan Perak (2018) mendapat peruntukan melebihi RM200 juta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program ‘Road To Tokyo’ hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau telah menasihatkan Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan minat untuk menganjurkan edisi ke-22 pada 2024 supaya menarik diri walaupun kedua-dua negeri itu mempunyai kekuatan kewangan dan sokongan yang lebih kukuh.

Bagi Sukma 2022, yang sepatutnya dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mengikut sistem pengiliran baharu, beliau berkata, perkara itu juga akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mendapat pandangan EPU, berikutan Sabah, Kedah dan Selangor menawarkan diri untuk menganjurkan edisi ke-21 itu.

Mengikut sistem penggiliran baharu, temasya dwitahunan itu harus dianjurkan oleh MSN, supaya kemudahan-kemudahan yang dinaik taraf untuk Sukan SEA 2017 di Lembah Klang, khusunya Bandaraya Sukan Kuala Lumpur dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya berdasarkan pandangan EPU.

Sementara itu, Syed Saddiq, berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk meningkatkan acara angkat berat kepada tujuh kategori berat badan bagi lelaki dan wanita (jumlah 14) mengikut piawaian antarabangsa pada Sukma Johor, Julai ini berbanding hanya empat kategori bagi setiap jantina sebelum ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa mesyuarat Ahli Majlis Sukan Negara bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KBS, Dr Waitchalla RRV Suppiah.

Selain memperbaiki dasar dan penglibatan wanita dalam sukan, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk memastikan program akar umbi melibatkan atlet wanita mendapat dana yang secukupnya.  – Bernama, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen