Nurul Izzah mahu fokus pada Permatang Pauh, kata Anwar


Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatannya sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.

NURUL Izzah Anwar mahu memfokuskan kepada kawasan parlimennya, Permatang Pauh dan enggan mencampuri politik elit, kata bapanya yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada simposium “The Construct of a Nation: As I See It” yang diadakan di Help University berhubung sama ada Nurul Izzah akan kembali aktif di barisan hadapan politik tanah air.

“Dia kata dia mahu fokus kepada Permatang Pauh. Saya dah cuba bercakap dengannya, pujuk dia, tapi saya hormati kebebasan anak-anak saya. Mereka buat keputusan mereka sendiri.

“Dia buat keputusan untuk menjauhi politik elit. Diharap, dia berubah,” katanya.

“Bukan mudah untuk jadi bapa yang mempunyai isteri sebagai bos dan anak perempuan yang mempunyai pandangan kukuh.”

Menyifatkan Timbaan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai siteri yang setia dan berdedikasi, menurutnya isteri dan anak-anaknya merupakan sumber kekuatannya ketika di penjara.

Nurul Izzah pada Mac tahun lalu memberitahu The Sunday Times Singapura bahawa ini merupakan penggal terakhirnya sebagai ahli Parlimen.

Nurul Izzah berkata tahun pertamanya sebagai backbencher kerajaan “bergelora dan huru-hara”.

“Ini adalah penggal terakhir saya. Itu rancangan saya sekarang,” katanya kepada akhbar itu.

Nurul Izzah melepaskan jawatannya sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018 serta menjauhkan diri daripada politik nasional.

Beliau turut memberitahu akhbar itu beliau kecewa dengan tindakan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan. – 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen