Najib putuskan kelulusan permohonan projek solar Jepak, kata saksi


Saksi pendakwaan Othman Semail ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Othman beri keterangan bahawa beliau menasihati perdana menteri ketika itu Najib Razak peruntukan tidak cukup untuk projek solar.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Februari, 2020.

BEKAS setiausaha bahagian perolehan kerajaan di Kementerian Kewangan Othman Semail memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa kelulusan permohonan projek solar hibrid di Sarawak oleh Jepak Holdings Sdn Bhd diputuskan bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga menteri kewangan ketika itu.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib sama ada projek itu akhirnya dianugerahkan kepada Jepak Holdings meskipun beliau memberi pelbagai nasihat dan syor agar permohonan tersebut tidak diluluskan, saksi pendakwaan ketujuh itu menjawab “ya.”

“Walau apapun yang datuk minitkan dalam memo, suarakan akhirnya adakah projek ini dianugerahkan kepada Jepak,” soal Akram dan Othman, 58, menjawab “ya.”

Saksi itu, yang kini merupakan timbalan ketua setiausaha perbendaharaan (pengurusan) Kementerian Kewangan, berkata demikian semasa perbicaraan hari ke-10 kes rasuah isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor berkaitan projek solar tersebut.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Terdahulu, ketika peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah meminta penjelasan mengenai perkataan ‘komplikated’ dalam minit bertarikh 23 Jun 2016 yang dikeluarkannya, Othman berkata beliau berpandangan tiada keperluan untuk menukar sistem genset diesel kepada sistem solar hibrid memandangkan beliau tidak pernah mendapat aduan daripada Kementerian Pendidikan berhubung pengendalian sistem itu (genset diesel).

Beliau berkata, sebahagian daripada 369 sekolah di Sarawak yang dicadangkan untuk pelaksanaan projek solar hibrid itu dijangka menerima bekalan elektrik melalui sambungan ke talian grid elektrik.

“Jadi kenapa perlu nak buat solar hibrid? Timbul persoalan kenapa Kementerian Pendidikan cadang laksanakan solar hibrid di semua sekolah itu.

“Sepatutnya projek solar hibrid dilaksanakan untuk sekolah-sekolah yang terpencil sahaja sebab di Sarawak, kalau kawasan itu terpencil ia memang benar-benar terpencil. Jadi, tidak semua 369 sekolah perlu dilaksana dengan projek solar, tambahan pula Kementerian Pendidikan tidak mempunyai bajet pembangunan dan pengurusan untuk melaksanakan projek solar hibrid,” katanya.

Othman berkata Kementerian Pendidikan hanya mempunyai bajet pengurusan untuk pengoperasian serta penyelenggaraan sistem genset diesel dan sistem genset sudah lama dilaksanakan di Sarawak.

“Apa jadi dengan genset diesel kalau sistem solar dilaksana tidak dinyatakan sebab itu ialah aset kerajaan dan satu lagi, kenapa projek hanya diberi kepada Jepak sebab ada syarikat lain juga boleh sertai,” katanya.

Akberdin: Anda syorkan untuk tolak rundingan terus (antara Kementerian Pendidikan dengan Jepak Holdings), kenapa anda luahkan kekhuatiran anda mengenai projek (solar hibrid) ini walaupun perdana menteri dah keluarkan minit (untuk berikan projek solar hibrid kepada Jepak Holdings).

Othman: Perbelanjaan mengurus dan pembangunan tidak ada, jadi syarikat (Jepak Holdings) bercadang nak ambil alih kontrak semasa sedangkan kontrak itu tiada masalah dan tiada isu pun untuk (Jepak Holdings) ambil alih. Selain itu, sistem solar masih belum dibuktikan keberkesanannya… itu nasihat kita kepada pembuat keputusan dan sebab itu, kami berpandangan rancangan Kementerian Pendidikan untuk (laksana) projek solar hibrid secara rundingan terus dengan Jepak tidak wajar dipertimbangkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Mac. – Bernama, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen