Gobind kecam ugutan jenayah terhadap Guan Eng


Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini berkata beliau memandang serius ugutan jenayah yang dibuat terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng melalui media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.  

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini berkata beliau memandang serius ugutan jenayah yang dibuat terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng melalui media sosial.  

“Selain berita palsu, ugutan jenayah melalui media sosial juga adalah perkara serius yang memerlukan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya siasatan menunjukkan mereka telah melakukan kesalahan ugutan jenayah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada ugutan jenayah yang katakan dibuat melalui Facebook terhadap Lim seperti yang dilaporkan beberapa media pada Rabu. 

Mereka yang terlibat antara lain memaparkan Lim sebagai musuh Islam nombor satu dan darahnya halal.

“Saya dimaklumkan laporan polis telah dibuat berkenaan perkara ini,” kata Gobind. 

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Dekoder myFreeview kepada kumpulan B40 dan golongan kurang upaya Gobind berkata Lim tidak mempunyai kaitan dengan mesyuarat Tabung Haji kerana dana haji adalah di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Gobind berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan berita palsu menerusi media sosial kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam.

“Saya fikir kita perlu berhati-hati apabila ia melibatkan mereka yang menggunakan media sosial untuk tujuan ugutan jenayah. Jika terdapat bukti bahawa kesalahan itu dilakukan, tindakan akan diambil.

“Kita mempunyai undang-undang untuk menangani kes-kes seperti ini. Apabila laporan dibuat, polis akan melakukan siasatan dan peranan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) membantu pihak polis, terutama jika terdapat permintaan sekiranya hantaran itu dibuat menerusi media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata kementerian itu telah meneliti cara menangani berita palsu yang menyentuh bangsa dan agama sejak setahun lepas dan beberapa cadangan telah dikemukakan.

Kementerian itu dalam proses mendapatkan pelbagai pandangan mengenai cara menangani berita palsu berkaitan kaum dan agama, katanya sambil menambah bahawa masalah itu bukan sahaja dihadapi Malaysia malah negara lain di seluruh dunia.

Gobind berkata beliau akan mengadakan sidang media apabila kementerian bersedia untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu. – Bernama, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen