KS Maniam, penulis sastera Malaysia, meninggal dunia


KS Maniam, penulis sastera Malaysia yang berkarya dalam bahasa Inggeris meninggal dunia hari ini pada usia 78 tahun. – Gambar Facebook, 19 Februari, 2020.

KS Maniam, penulis sastera Malaysia yang berkarya dalam bahasa Inggeris meninggal dunia hari ini. Umurnya 78 tahun.

Berita kematiannya dihebahkan oleh sahabatnya Malachi Edwin Vethamani, yang juga penulis dan pensyarah di University of Nottingham Malaysia Campus.

“Terima khabar duka bahawa KS Maniam yang kita sayangi meninggal dunia petang ini. Berehatlah dalam damai.

“Butiran lanjut mengenai urusan pengkebumian akan saya kongsi apabila saya terima,” tulisnya di Facebook.

Sejak beberapa bulan lalu, Edwin menganjurkan beberapa majlis untuk meraikan Maniam bertemu dengan peminat sastera, termasuk penerbitan dan pembacaan semula semula karya-karyanya.

Sepanjang kerjaya lebih 50 tahun menulis cerpen, novel dan drama dalam bahasa Inggeris, Maniam diingati sebagai penulis yang merakamkan semangat sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya.

Novel terkenalnya The Return (1981) pernah digunakan sebagai buku teks untuk mata pelajaran sastera untuk Tingkatan Lima di sekolah, sementara beberapa karya lainnya dikaji di universiti.

Maniam juga menulis dua novel lain iaitu In a Far Country (1993) dan Between Lives (2003).

Anak pekerja estet yang berasal dari Bedong, Kedah ini mula menulis ketika remaja dan menerbitkan puisi pertamanya pada umur 22 tahun.

Dua kumpulan cerpennya pernah menang hadiah penulisan anjuran New Straits Times iaitu The Loved Flaw: Stories From Malaysia (1987) dan Haunting The Tiger: Contemporary Stories from Malaysia (1990).

Pada tahun 2000, Maniam mendapat penghargaan sebagai penerima sulung Hadiah Raja Rao dari India atas sumbangannya dalam sastera diaspora Asia Selatan.

Pada akhir tahun lalu, Maniam melancarkan himpunan karyanya dalam buku bertajuk KS Maniam: Selected Works yang diterbitkan oleh Maya Press.

Belasungkawa

Sementara itu, berita kematian Maniam disambut duka oleh beberapa penulis dan penggiat sastera, yang menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar bagi Malaysia.

“Gergasi sastera sudah meninggalkan kita. Berehat dalam kehebatan, KS Maniam,” catat penulis Bernice Chauly di Facebook.

Penyair Melazirani T Selva pula merakamkan terima kasih kepada Maniam yang selama ini memberikan inspirasi, terutama kepada penulis kaum India.

Penerbit buku Amir Muhammad pula berharap satu penghormatan dapat diberikan bersempena Kuala Lumpur diangkat sebagai kota buku dunia tahun ini.

“Sebuah acara untuk KS Maniam sempena KL jadi Kota Buku Dunia Unesco 2020 bukan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya,” tulis pemilik rumah penerbitan Fixi ini di Facebook.

Tidak minta pengiktirafan

Dalam satu wawancara dengan Astro tahun lalu, Maniam berkata beliau tidak mengharapkan apa-apa pengiktirafan atau penghargaan atas sumbangannya selama ini dalam bidang sastera dan penulisan mengenai Malaysia.

“Saya tidak mencarinya, malah saya pun tidak mahu. Saya rasa dihargai dengan tidak ditawarkan penghargaan,” katanya, dipetik Astro Ulagam.

Bagi Maniam penghargaan yang menggembirakannya ialah apabila karyanya menjadi rujukan pelajar universiti.

“Mereka bukan saja kata ‘kami berminat dengan karya ini dan membuat tesis sarjana dan kedoktoran’ tetapi mereka juga kata ‘tuan membantu kami mendapatkan kerja’,” katanya.

Maniam pernah menjadi pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris di Universiti Malaya antara 1980 dan 1997.

Mengenai masa depan Malaysia, Maniam dipetik berkata demi kemakmuran negara, semua rakyatnya perlu mengurangkan penekanan terhadap identiti kaum dan budaya sebaliknya menerima semua orang sebagai rakyat Malaysia.

“Kita kata agama, bangsa, dan negara, dan seterusnya… kenapa kita tidak hanya kata negara? Tidak usah sebut yang dua lagi itu.

“Kita perlu meruntuhkan dinding dan pemikiran yang kata ‘oh, dia Cina, dia Melayu, dia India, dia Bangladesh’.

“Kalau kita menyumbang kepada kesejahteraan negara ini, maka kita rakyat Malaysia,” katanya. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen