Tiada jawapan konklusif atas kehilangan MH370, kata Hishammuddin


Pihak berkuasa telah mengkaji setiap petunjuk dan kemungkinan berkaitan pesawat terbabit, termasuk spekulasi, teori dan sebarang maklumat berkaitan pada masa itu, kata Hishammuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

SIASATAN mengenai kehilangan MH370 dilakukan dari pelbagai sudut tetapi jawapan kepada punca sebenar kejadian yang menimpa pesawat itu tidak ditemui, kata Hishammuddin Hussein.

Beliau yang bertindak sebagai pemangku menteri pengangkutan ketika itu berkata pihak berkuasa telah mengkaji setiap petunjuk dan kemungkinan berkaitan pesawat terbabit, termasuk spekulasi, teori dan sebarang maklumat berkaitan pada masa itu.

“Ini dilakukan dengan kerjasama penuh daripada pihak berkuasa antarabangsa dan segala kemampuan yang kita ada,” kata bekas menteri pertahanan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Hisahmmuddin berkata Malaysia pada masa itu konsisten bahawa segala maklumat dan bukti akan disahkan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Mendedahkan apa sahaja yang belum disahkan akan menjejaskan siasatan yang sedang berjalan dan tidak adil bagi waris penumpang pesawat MH370 dan juga orang awam.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif.

“Malangnya, sehinggalah ke akhir tugas saya selaku pemangku menteri pengangkutan, pasukan siasatan tidak melaporkan kepada saya sebarang jawapan konklusif mengenai punca sebenar kehilangan pesawat berkenaan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan bekas perdana menteri Australia Tony Abbot bahawa seorang “pegawai atasan kerajaan” sejak awal percaya tragedi MH370 adalah plot bunuh diri oleh juruterbang. 

Terdahulu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tragedi MH370 adalah plot bunuh diri.

Hamid berkata polis telah menyiasat kejadian itu dari pelbagai sudut. 

“Tiada teori yang boleh sahkan kerana kita tidak jumpa rangka kapal terbang tersebut.

“Saya tak tahu siapa ‘pegawai tinggi’ yang dimaksudkan. Saya pun terlibat dalam siasatan itu, kita menyiasat dari seluruh sudut. Dari segi terrorismnya, dari segi hijacking oleh pihak tertentu, menggunakan teknologi canggih untuk hijack kapal terbang itu, dan macam-macam.

“Jadi banyak fakta yang telah dikumpul. Apabila katakanlah ia ditemui nanti, mungkin akan dibuka balik (siasatan),” katanya, mengulas dakwaan Abbot itu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional tidak mendedahkan syak wasangka tersebut kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

Najib juga berkata pihak berkuasa turut mengkaji semua kemungkinan semasa menjalankan siasatan, termasuk penglibatan juruterbang pesawat itu, Zaharie Ahmad Shah.

“Ia akan dianggap tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui justeru tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab atau sama-sama,” katanya dipetik portal FMT.

Pihak berkuasa juga ada menyiasat motivasi politik kerana hubungan politik juruterbang itu, tambah Najib.

“Sekali lagi saya mesti tegaskan kemungkinan itu tidak pernah ditolak dalam usaha pencarian dan siasatan ke atas senario MH370, yang dijalankan sehabis mungkin.

“Juruterbang itu diketahui seorang ahli parti pembangkang yang pernah menghadiri pelbagai aktiviti politik dan pemimpin pembangkang kemudian akui juruterbang itu ada kaitan dengannya,” kata Najib seperti dipetik FMT. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen