Kontraktor, pengarah projek didenda RM35,000


MAHKAMAH Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda RM35,000, masing-masing kepada projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, di Jalan Bukit Kukus dan pengarah projeknya.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman tersebut kepada Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd (Yuta Maju) yang diwakili pengarah syarikat Rohani Razak, 47, dan pengarah projek itu Lai Sin Kian, 58, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah hari ini, terhadap tuduhan pindahan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh di tapak projek itu, dua tahun lepas.

Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan syarikat itu dan pengarah projeknya selaku orang kena saman (OKS) dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Lai dan Yuta Maju, masing-masing didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah, bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara, sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh pada pukul 1.50 tengah hari, 19 Oktober 2018.

Lai dan Yuta Maju dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman, memohon hukuman berat atas alasan OKS merupakan kontraktor utama dan majikan yang telah mendapat kerja, dengan jumlah harga kontrak bernilai RM275.6 juta, daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Beliau berkata majikan juga telah gagal mengenal pasti risiko dan mengendalikan projek itu berdasarkan konsep ‘HIRARC’ iaitu mengenal pasti ancaman, penaksiran risiko dan kawalan risiko bagi kerja-kerja cerun sementara yang ditambun, selain majikan telah membiarkan pekerja tinggal dan berada di dalam kabin kongsi walaupun mengetahui cerun dalam keadaan bahaya, serta tiada pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah.

Sementara itu, peguam S. Kanesh yang mewakili syarikat itu dan Lai memohon mahkamah mengenakan denda munasabah terhadap anak guamnya, atas alasan kejadian yang berlaku adalah akibat hujan lebat dan ribut, beberapa hari sebelum kejadian tanah runtuh itu.

Katanya, OKS telah mengambil langkah berjaga-jaga, namun kejadian tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, berikutan hujan lebat dan insiden itu merupakan kali pertama terjadi.

Tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus kendalian MBPP itu meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang lagi, manakala seorang lagi hilang.

Projek jalan berkembar sebagai jalan penghubung antara Paya Terubong dan Relau itu dijangka siap menjelang Mei 2020.  –  Bernama, 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen