Orang awam dilarang masuk tapak pelupusan sampah di Rompin


Tapak pelupusan sampah Bandar Muadzam Shah di Rompin, ditutup berkuat kuasa serta-merta kepada orang awam yang berhasrat mencari bahan kitar semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Februari, 2020.

TAPAK pelupusan sampah Bandar Muadzam Shah di Rompin, ditutup berkuat kuasa serta-merta kepada orang awam yang berhasrat mencari bahan kitar semula, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid.

Beliau berkata tapak pelupusan sampah itu sememangnya kawasan larangan kepada orang awam dan hanya operator serta lori yang dilantik SWCorp saja dibenarkan masuk, namun berlaku kejadian tapak tersebut diceroboh.

“Arahan dan prosedur operasi standard (SOP) cukup jelas berhubung larangan itu, kami tidak mahu kejadian yang memungkinkan orang lain mencari bahan kitar semula berlaku kerana kawasan terlibat bahaya selain atas isu kesihatan.

“Kami memberi arahan kepada operator yang menguruskan tapak tersebut untuk tidak membenarkan orang awam masuk dengan sewenang-wenangnya termasuk membuat kawalan keselamatan 24 jam oleh lima pekerja,” katanya.

Sharudin sebelum itu, menyertai sesi dialog Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy bersama penduduk Orang Asli dari suku Jakun di Kampung Bukit Biru di Rompin, semalam.

Selain itu, Sharudin berkata SWCorp juga mengarahkan operator untuk menutup laluan masuk dari arah belakang tapak pelupusan itu dengan serta-merta kerana difahamkan terdapat orang awam yang menggunakan laluan tersebut.

Katanya, isu masyarakat Orang Asli datang mencari bahan kitar semula di situ telah berlaku sejak beberapa tahun lalu namun perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi mengatasi masalah itu tidak berjaya.

“Kami mengarahkan mereka keluar, namun mereka masih datang untuk mencari pendapatan. Bagaimanapun, sejak cerita mereka mencari bahan kitar semula di situ tersiar, mereka yang datang semakin berkurangan.

“Malah, tujuh keluarga yang membuat bangsal di situ juga telah dipastikan keluar. Bangsal itu dibuat untuk mereka berehat selepas mencari bahan kitar semula atau sementara menunggu kedatangan lori sampah,” katanya. – Bernama, 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen