Kesatuan atau kolonial mahasiswa?


SELEPAS tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada Mei 2018, maka muncul kerajaan Pakatan Harapan yang berlagak menjadi hero dan melaungkan tentang kebebasan yang selama ini dibungkam oleh kerajaan lama. Antara laungan janji mereka ialah mahasiswa boleh menubuhkan kesatuan mahasiswa yang telah lama mati sejak tertubuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Ramai mahasiswa menyambut baik laungan ini. Maka, berlumbalah majlis perwakilan pelajar universiti menyahut seruan yang dilaungkan oleh Dr Mazslee Malik (ketika memegang jawatan menteri pendidikan Malaysia sehingga 3 Januari 2020).

Sedikit yang membantah namun ramai yang tidak ambil tahu tentang isu ini. Mungkin juga disebabkan sudah lama duduk di dalam satu sistem yang menyebabkan mahasiswa takut untuk mengeluarkan pendapat mereka di ruang umum hingga menjadi bodoh dan hanya mengikut kata dan merasakan budaya mengkritik adalah budaya yang kurang ajar biarpun dipijak dan ditindas.

Untuk pengetahuan ramai, pada tahun lepas, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS) telah menyahut seruan kerajaan ini dengan mengadakan lawatan ke London. Seramai 27 orang mengikuti lawatan untuk mengkaji sistem kesatuan mahasiswa yang ada di sana.

Ada yang menyokong tindakan MPP ini sebagai satu usaha yang cukup bagus dalam memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kesatuan mahasiswa dan fungsinya. Namun ada juga yang mengkritik dengan keras dan mempersoalkan ketelusan wang yang digunakan untuk ke sana.

Namun, selepas lawatan ke London itu dan selepas wakil-wakil MPP pulang semula ke UMS, tiada apa-apa perubahan yang substantif berlaku di universiti itu khususnya isu mahasiswa.

Mahasiswa masih tidak bebas untuk mempersoalkan tentang ketidakadilan yang ada. Malah ketika sekumpulan mahasiswa yang lain masih “struggle” untuk mendapatkan ruang berjumpa pihak pentadbiran atas isu-isu tertentu, tiadalah ruang ini diambil dan diselesaikan oleh kesatuan yang terbang jauh sehingga ke London untuk memahami erti kesatuan ini.

Tidak cukup dengan MPP UMS, jawatankuasa sementara kesatuan mahasiswa UIAM yang ditubuhkan pada hujung tahun 2019 juga mengadakan lawatan ke UK seramai 5 orang termasuk seorang pensyarah.

Apabila ditanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa kesatuan mengapa memilih UK dan bukan Singapura atau Indonesia, antara jawapannya ialah kerana UK mempunyai sistem kesatuan mahasiswa yang terbaik manakala Singapura pula kebebasan akademiknya tidak begitu bebas.

Ternyata, menjadi universiti Islam ini sangat ironi. Kalau dahulu mahu menjadi Oxford, kini cara pandang mahasiswa untuk bergerak-kerja pun masih lagi memandang ke barat sana. Jika dari segi pakaian itu, harus ditutup atas hingga bawah, malah memakai seluar tidak diterima segelintir pensyarah, tetapi dalam hal-hal begini bukan main lagi kebaratannya.

Tidaklah aneh sebenarnya jika selepas ini ada lagi perwakilan pelajar universiti masih lagi mahu pergi jauh hingga ke barat untuk memahami kesatuan mahasiswa.

Menariknya, selepas pulang, perbincangan yang didapati tidakpun dikongsi bersama universiti lain.

Alangkah eloknya jika kepergian MPP UMS itu dikongsi bersama MPP UIAM. Manakala MPP UIAM barangkali boleh belajar di negara lain pula dan seterusnya berkongsi pada universiti lain pula. Bukankah ini lebih baik?

Malah, perkara-perkara ini seharusnya dibincangkan dalam Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan – bagaimana mahu bergerak jauh dalam penubuhan kesatuan mahasiswa.

Apakah sebenarnya kesatuan mahasiswa?  Apakah semangat yang ingin dibawa oleh kesatuan mahasiswa ini?

Untuk memahami tentang kesatuan mahasiswa tidak perlu pergi jauh ke London kerana di negara kita sendiri mempunyai sejarah yang hebat tentang kesatuan mahasiswa yang ada sebelum AUKU digubal.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya atau dikenali sebagai UMSU antara kesatuan yang terkaya di dunia kerana mempunyai kewangan yang mampu membeli bas untuk kegunaan mahasiswa dan memberikan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang memerlukan ketika itu.

Bukankah kita harus merungkaikan akar permasalahan tersebut di tempatnya barulah dapat membina sistem yang baik?

Kesatuan mahasiswa bermaksud kerajaan mahasiswa. Dengan kata lain mahasiswa mampu menguruskan urusan mereka sendiri di universiti tanpa bantuan pentadbiran. Mereka bebas untuk mengadakan aktiviti yang mereka rasakan penting tanpa perlu meminta kebenaran dari pihak pentadbiran, bebas untuk bersuara tentang apa sahaja isu yang berlaku di dalam universiti juga luar universiti.

Perkara yang paling penting di dalam kesatuan mahasiswa adalah, adanya mahasiswa! Iya, berapa banyak kesatuan atau majlis perwakilan kini yang sepertinya tidak lagi mewakili mahasiswa tetapi mewakili pentadbiran?

Dalam 1.2 juta mahasiswa yang ada kini, berapa ramai yang mahu sama-sama duduk berdiri di bawah kesatuan atau perwakilian ini?

Mengeluarkan mahasiswa daripada sistem yang mandom ini adalah kerja utama yang sebenarnya. Bukan mengetahui hal-hal teknikal seperti bagaimana minit mesyuarat yang harus dilakukan, bagaimana sistem kewangan, bagaimana cara mahu melantik pengerusi dan sebagainya.

Seksyen Seksyen 15 A (1) dan (2) AUKU melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada memungut wang atau menganjurkan dengan apa cara untuk memungut wang.

Jadi apakah kaitan dengan tidak boleh memungut wang dengan mahasiswa hanya fokus dengan politik sehingga mengabaikan pelajaran?

Malah, apa guna kesatuan kalau masih bergantung bersama pentadbiran? Apa guna perwakilan jika pentadbiran sibuk bina keris, bina tugu, bina ini, bina itu, tetapi kerja-kerja mengangkat kesedaran mahasiswa dipandang sepi?

Apa pun paling penting sekali dalam kesatuan mahasiswa adalah prinsip-prinsip yang ingin dibawa iaitu kebebasan akademik dan autonomi universiti. Namun untuk mengangkat dua prinsip ini mahasiswa seharusnya mengetahui hak-hak dan peranan mereka terlebih dahulu.

Jika mahasiswa masih tidak berani untuk bersuara dan kritikal terhadap apa yang berlaku di sekililing mereka, jangan-jangan pergi London untuk belajar sistem yang paling terbaik pun tidak guna kerana sistem yang terbaik lahirnya dari kematangan mahasiswa untuk mengurus urusan mereka dan menyelesaikan masalah yang berlaku dan ia berlaku secara organik.

Merujuk kepada artikel Syed Hussein Alatas bertajuk “The captive mind and creative development”: “A captive mind is the product of higher institutions of learning, either at home or abroad, whose way of thinking is dominated by Western thought in an imitative and uncritical manner… A captive mind is uncreative and incapable of raising original problems.”

Erti lain, “captive mind” atau minda tertawan ini ialah apabila cara pemikiran kita dikuasai oleh pemikiran barat, hingga mengakibatkan segala analisa, penetapan masalah dan penyelesaian kita haruslah mengikut cara yang Barat sarankan atau gunakan.

Syed Hussein Alatas mencadangkan kita supaya menafsir semula sejarah kita sendiri untuk kita membebaskan diri dan minda dari minda tertawan. Justeru, apa perlunya pergi ke London untuk meniru pakai apa yang mereka telah bina.

Apa yang perlu ialah membuat kerja-kerja akar umbi dan cuba memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh mahasiswa di setiap universiti. Selepas menganalisa masalah yang ada maka di sinilah peranan intelektual untuk membantu mahasiswa dalam mengembangkan pemikiran mereka dan membina sistem yang sesuai untuk digunakan di tempat mereka kerana tidak mungkin satu sistem mampu menyelesaikan semua masalah di setiap tempat.

Teman-teman mahasiswa, perbincangan intelektual tentang sejarah kegemilangan Nusantara sudah lama dibincang dan diperdebatkan, mengapa kita masih ingin mengambil cedok pemikiran Barat?

Ayuhlah memikir ulang sejarah kita sendiri, jangan-jangan penyelesaiannya sudah ada di sejarah yang terdahulu cuma kita terlepas pandang dan memandang lekeh tentang kehebatan orang-orang kita yang terdahulu.

Tetapi jika kesatuan mahasiswa yang ada masih ingin meneruskan dengan pemikiran yang lama ini, jangan-jangan merekalah yang dicengkam penyakit minda tertawan yang terjajah kolonialisme. Gerakan mahasiswa adalah gerakan akar umbi. Gerakan masyarakat, gerakan membebaskan, bersuara melawan penindasan, bukan hal-hal teknikal! – 16 Februari, 2020.


* Syazwani M. ialah pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, sebuah komuniti anak muda yang memperjuangkan wacana intelektual alternatif demi mencapai keadilan sosial.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen