Tariq Ramadan ambil cuti selepas tuduhan salah laku seksual


Profesor Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Oxford, Tariq Ramadan kini berdepan penyiasatan terhadap dua dakwaan rogol dan salah laku seksual. – Gambar EPA, 8 November, 2017.

ILMUAN Islam, Tariq Ramadan mengambil cuti daripada tugasnya sebagai pensyarah di Universiti Oxford di England susulan beberapa dakwaan terlibat dalam jenayah rogol dan salah laku seksual, kata universiti itu.

Tariq sebelum ini menafikan dua tuduhan rogol yang dilemparkan oleh wanita Perancis, dan kemudian dakwaan dalam media di Switzerland mengenai salah laku seksual terhadap gadis remaja pada 1980-an dan 1990-an.

“Dengan persetujuan bersama, dan berkuatkuasa serta merta, Tariq Ramadan, Profesor Pengajian Islam Kontemporari, telah mengambil cuti daripada Universiti Oxford,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.

Tugas-tugas beliau akan diserahkan kepada orang lain dan beliau tidak akan hadir ke kampus, tambah kenyataan itu.

Menurut Oxford, tuduhan-tuduhan tersebut menimbulkan “tekanan yang memuncak dan boleh difahami” dan ia lebih memikirkan tentang “kesejahteraan pelajar dan kakitangan”.

“Persetujuan bercuti tidak bermakna tanggapan atau pengakuan salah, dan membolehkan Profesor Ramadan menangani tuduhan sangat serius terhadapnya, yang semuanya beliau nafikan,” kata kenyataan itu.

Tariq, 55, dengan tegas menyifatkan dakwaan sebagai “kempen fitnah oleh musuh-musuh saya” dan mempertikaikannya di mahkamah.

Ahli akademik itu menyambut baik kenyataan Oxford yang katanya “mempertahankan prinsip tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahan tanpa memperkecilkan dakwaan terhadap saya”.

Dua wanita yang mendakwa dirogol berkata mereka pada mulanya bertemu Tariq untuk mendapatkan nasihat agama.

Aktivis wanita, Henda Ayari memberitahu akhbar Le Parisien dia “rasa macam hendak mati” ketika diserang di sebuah hotel di Paris pada 2012.

Seorang lagi wanita kurang upaya yang identitinya dirahsiakan mendakwa Tariq memukul dan merogolnya beberapa kali di sebuah hotel di Lyon pada 2009.

Peguam Tariq mendesak siasatan kemungkinan pengadu-pengadu ini berkomplot untuk membuat tuduhan berat itu. – AFP, 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen