Suspek lepaskan tembakan rambang di Bangkok serah diri


Orang ramai berkumpul di lokasi kejadian tembakan rambang di Bangkok, Thailand, hari ini. Seorang lelaki berusia 40-an ditangkap selepas melepaskan tembakan ke udara dari kedainya. – Gambar EPA, 14 Februari, 2020.

POLIS Thailand menahan seorang lelaki tempatan yang melepaskan beberapa das tembakan di Universiti Chulalongkorn Bangkok pagi tadi. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Lelaki berusia 44 tahun itu, seorang pemilik kedai sukan, ditahan selepas melepaskan sekurang-kurangnya 40 das tembakan dalam kejadian pada 9 pagi di Chula Soi 10 di daerah Pathumwan, Bangkok.

Insiden itu mencetuskan panik di kawasan kejiranan yang dipenuhi dengan deretan kedai dua tingkat - kebanyakannya menjual peralatan sukan - kejadian berlaku kurang seminggu selepas seorang tentera mengamuk dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 yang lain di Nakhon Ratchasima hujung minggu lalu.

Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Leftenan Jeneral Pakkapong Pongpetra berkata suspek menyerah diri dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini. 

Dipercayai lelaki itu dalam keadaan tertekan, mendorongnya bertindak sedemikian. 

Sabtu lalu, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma,32, ditembak mati oleh anggota polis, dalam kejadian amuk di Nakhon Ratchasima.

Motif di sebalik serangan itu dipercayai akibat dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya beliau telah ditipu. – Bernama, 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen