Penunjuk perasaan Lubnan cuba halang undi percaya


Kumpulan penunjuk perasaan membanjiri ibu negara Lubnan, Beirut bagi menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan baharu.– Gambar EPA, 11 Februari, 2020.

PENUNJUK perasaan di tengah Beirut cuba menghalang undi percaya di parlimen pada Selasa selepas kerajaan baharu didakwa gagal memenuhi tuntutan mereka dan gagal menyelamatkan negara.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kumpulan berkenaan yang membaling batu ke dinding bangunan parlimen.

Kumpulan penunjuk perasaan berkenaan membawa bendera Lubnan dan melaungkan “hilang keyakinan” mula berhimpun di sekitar ibu negara pada awal pagi bagi mengelakkan pemeriksaan polis.

Beberapa ahli parlimen terpaksa bermalam di parlimen bagi mengelakkan penunjuk perasaan yang sebelum ini berjaya menghalang beberapa sesi sejak melancarkan kempen mereka pada Oktober lalu.

“Saya di sini untuk menyatakan ‘hilang keyakinan’ terhadap kerajaan kerana cara pembaharuan dilakukan menunjukkan mereka tidak boleh dipercayai,” kata salah seorang penunjuk perasaan yang hanya mahu dikenali sebagai Carole.

Hassan Diab, iaitu ahli akademik dan bekas menteri pendidikan diberi tanggungjawab untuk membentuk kerajaan pada Disember selepas Saad Hariri dipaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berikutan desakan di jalanan.

Gelombang bantahan itu mendesak pengunduran golongan elit politik yang dilihat korup dan tidak cekap menjalankan tanggungjawab mereka. – AFP, 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen