Apa peliknya buka surau tolong mangsa banjir, kata Wan Ji


Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin berkata sikap saling bantu membantu, meringankan beban antara satu sama lain dan bertoleransi sememangnya amalan Muslim di negeri itu sejak sekian lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

TIADA yang luar biasa apabila orang Islam membuka pintu surau di George Town untuk orang bukan Islam berlindung selepas terkena banjir, kata pendakwah Wan Ji Wan Hussin, kerana warga Pulau Pinang sememangnya mengamalkan “sifat damai” tanpa mengira agama.

Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata sikap saling bantu membantu, meringankan beban antara satu sama lain dan bertoleransi sememangnya amalan Muslim di negeri itu sejak sekian lama.

“Ekoran itu, kami warga Pulau Pinang aman damai sehingga kini, walaupun ada pihak-pihak tertentu lakukan provokasi yang tidak bertanggungjawab, bahkan selalunya  provokasi itu datang dari luar Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, orang Islam di Pulau Pinang dididik mengangkat tinggi pendekatan rahmat sekelian alam yang dibawa oleh Islam.

“Tidak menjadi hairan dan susah bagi masyarakat kami membantu sesiapa sahaja yang berhadapan sebarang kesusahan dan musibah seperti dalam hal banjir, waima melibatkan rumah ibadat kami seperti masjid atau surau,” tambahnya.

Wan Ji menjawab kritikan terhadap bilal sebuah surau di George Town yang menyelamatkan 70 warga keturunan India dan Cina di sekitar Lengkuk P Ramlee selepas air naik ke paras dada pada awal pagi Ahad lalu.

Tindakan bilal itu membawa mereka masuk berlindung di surau berkenaan mencetuskan reaksi yang pelbagai termasuk kritikan daripada pendakwah kontroversi yang juga Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mohd Zin.

Menulis di Facebook dengan mengemukakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai hukum orang bukan Islam masuk ke masjid, Zaminah berkata apa yang berlaku seperti yang dirakamkan pada sekeping foto yang tular di media sosial “tidak sepatutnya berlaku”

Beliau merujuk kepada sekeping foto yang menunjukkan beberapa orang bukan Islam berehat di surau berkenaan, termasuk seorang lelaki yang tidak berbaju.

“Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka. Selain itu, pihak pengurusan masjid/surau juga perlu mengingatkan mereka dengan adab dan syarat bagi menjaga kesucian masjid,” kata Zamihan.

Wan Ji, dalam kenyataan yang dilihat ditujukan kepada Zamihan, meminta “pihak dari luar Pulau Pinang” untuk tidak memecahbelahkan rakyat negeri itu.

Foto yang tular di platform media sosial yang mencetuskan pelbagai reaksi susulan banjir di Pulau Pinang, pada Ahad. – Gambar Facebook, 6 November, 2017.

“Kami minta tolong dari sebarang pihak dari luar Pulau Pinang, agar tidak membuat kenyataan atau tindakan yang mengeruhkan hubungan baik sesama kami rakyat Pulau Pinang,” katanya, yang sebelum ini kerap diserang dan dikritik oleh Aswaja.

Menurut Wan Ji, warga Pulau Pinang juga menolak “pendekatan keras dan pemaksaan seperti yang diamalkan oleh Taliban, kerana kami percaya pendekatan itu membawa hubungan tidak baik sesama kami.”

Bilal Surau Taman Free School, Sapno Tukijo semalam mempertahankan tindakannya membenarkan sekumpulan mangsa banjir menumpang di surau berkenaan ketika bencana itu, selepas dikritik masyarakat termasuk Zamihan.

Kata beliau, tindakannya membuka pintu surau itu kepada orang bukan Islam untuk berlindung adalah atas dasar kemanusiaan.

“Saya tak kisah apa orang kata, yang penting nyawa mereka dapat diselamatkan.

“Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu namun saya rasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka yang tidak tahu ke mana arah hendak dituju,” katanya.

Menurut Sapno, penduduk bukan Islam yang berdekatan surau itu pada asalnya hendak menumpang teduh di sebuah tokong berhampiran tetapi mereka tidak dapat melintas jalan meredah banjir kerana air terlalu deras.

Kata Sapno, beliau cuba menolong mereka menyeberang ke tokong itu tetapi selepas air naik sampai ke paras dada, beliau mempelawa mereka berlindung di surau berkenaan.

Sementara itu, rata-rata orang ramai mengkritik komen Zamihan di akaun Facebooknya, mengatakan pendirian keras seperti itu mengeruhkan imej Islam pada mata orang bukan Islam.

Shazrin Erma Azmi yang menulis komennya pada kenyataan Zamihan itu menyeru pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu untuk tidak jadi terlalu kolot, sebaliknya cuba memahami keadaan apa yang berlaku.

“Keluar dr (dari) rumah waktu mlm (malam) maybe (mungkin) sehelai sepinggang. Pihak pengurusan boleh bg (bagi) pakaian lebih sopan pd (kepada) mereka. Sediakan 1 ruang utk (untuk) mereka rehat jauh dr (dari) tempat solat. Berbuat baik sesama manusia. Mereka perlu bantuan. Jgn (Jangan) kolot sgt (sangat),” tulisnya.

Sementara itu pengguna Facebook Nurul Akma berkata pendekatan kemanusiaan dan hikmah adalah alasan utama untuk seseorang tertarik kepada agama.

“Berbuat baik kepada sesiapa sahaja itu perbuatan baik. Melindungi nyawa itu wajib.

“Tahu tak kenapa ramai orang menganuti kristian di pedalaman Sabah? Kerana gereja gereja menyediakan makanan dan tempat perlindungan kepada penduduk sekitarnya,” tulisnya. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen