1 maut pesawat langgar traktor penunda di lapangan terbang Thailand


Insiden membabitkan sebuah pesawat Nok Air dijadual berlepas ke Nakhon Si Thammarat, berlanggar dengan traktor penunda itu yang sedang menunda pesawat berkenaan ke kawasan tempat letak pesawat. – Gambar YouTube, 7 Februari, 2020.

SEORANG pemandu traktor penunda terbunuh dan seorang petugas cedera selepas traktor itu dilanggar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di sini hari ini.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan), membabitkan sebuah pesawat Nok Air dijadual berlepas ke Nakhon Si Thammarat pada jam 8.40 pagi (waktu tempatan), berlanggar dengan traktor penunda itu yang sedang menunda pesawat berkenaan ke kawasan tempat letak pesawat.

Semua penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu tidak mengalami kecederaan.

Satu rakaman CCTV menunjukkan traktor penunda pesawat itu berhenti apabila bar tunda longgar. Bagaimanapun, pesawat itu terus bergerak ke depan dan merempuh traktor berkenaan. 

Mangsa dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Operasi pesawat itu digantung, sementara siasatan dijalankan.

Pesawat itu diganti dengan kapal terbang lain dan berlepas ke Nakhon Si Thammarat pada 9.50 pagi.

Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Sumpun Kutranon berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kemalangan. – Bernama, 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen