Malaysia catat aliran dana keluar lebih RM400 juta susulan koronavirus


PELABUR asing menjadi penjual bersih di dalam pasaran ekuiti tempatan bagi minggu yang baru berakhir, mencatatkan aliran keluar bernilai RM409.14 juta bagi tempoh 28 hingga 30 Januari berbanding aliran masuk bersih sebanyak RM23.48 juta dari 20 hingga 23 Januari.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini susulan laporan mengenai wabak 2019 novel koronavirus yang terus menjadi perhatian.

“Purata kadar penyertaan institusi asing dan tempatan masing-masing pada 19.45% dan 44.91%, berbanding 18.4% (institusi asing) dan 54.0% (institusi tempatan) bagi tempoh yang sama pada minggu sebelumnya,” katanya.

Institusi tempatan merekodkan jualan bersih bernilai RM115.73 juta pada 28 hingga 30 Januari, berbanding jualan bersih bernilai RM48.51 juta pada 20 hingga 23 Januari.

Sementara itu, aliran dana bersih bagi runcit tempatan mencatatkan belian bersih bernilai RM293.41 juta dengan purata penyertaan 35.64% pada 28 hingga 30 Januari berbanding belian bersih RM25.03 juta dengan purata penyertaan sebanyak 27.97% bagi tempoh 20 hingga 23 Januari.

Afzanizam berkata pasaran kekal berhati-hati terhadap impak koronavirus memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskan wabak itu di bawah Kecemasan Kesihatan Awam susulan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), menunjukkan penularan wabak itu adalah teruk.

Bagaimanapun, WHO memuji usaha pihak berkuasa China untuk berkongsi maklumat mengenai tahap penularan wabak berkenaan.

“Secara ringkasnya, ia merupakan mod risiko sepanjang minggu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata keadaan negatif dalam penjualan berlaku apabila kebimbangan (mengenai koronavirus) mempengaruhi peniaga pasaran memandangkan mereka pantas melepaskan nisbah modal masing-masing.

“Terdapat beberapa kesukaran bagi aliran masuk di rantau ini minggu ini, namun jika insiden penularan wabak itu mulai lemah pada minggu depan, saya menjangkakan pasaran akan mengalami pembelian untuk mendapatkan hasil, terutama bagi ekuiti dan bon di bawah nilai, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bagi kadar faedah rendah,” katanya.

Beliau berkata jika penularan koronavirus turun secara ketara, aliran masuk dana ke pasaran seperti Korea Selatan, Malaysia dan Australia merupakan pilihan utama untuk minggu depan, memandangkan negara ini adalah antara rakan dagang terbesar China.

“Selain itu, penstabilan yuan China berbanding dolar AS, yang diniagakan di bawah RMB7.0 berbanding AS$1 juga merupakan petanda yang baik untuk pasaran ini,” katanya. – Bernama, 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen