Pemimpin pemisah Catalonia dibebaskan dengan syarat


Carles Puigdemont dan empat lagi bekas menterinya dibebaskan oleh hakim mahkamah Belgium tetapi dengan bersyarat. – Gambar AFP, 6 November, 2017.

HAKIM mahkamah Belgium membebaskan pemimpin Catalonia yang disingkirkan, Carles Puigdemont dan empat lagi bekas menterinya dengan bersyarat semalam.

Mereka dibebaskan selepas Sepanyol mengeluarkan waran tangkap Kesatuan Eropah (EU) ke atas mereka, kata pendakwa raya.

Puigdemont dan empat bekas menterinya menyerah diri kepada polis Belgium pagi semalam dan dibebaskan 15 jam kemudian.

“Permohonan pembebasan sementara yang dibuat hari ini oleh Pejabat Pendakwa Brussels ke atas semua individu terbabit dibenarkan oleh hakim penyiasat,” kata satu kenyataan dari pejabat pendakwa.

Lima individu termasuk Puigdemont, dilarang meninggalkan Belgium tanpa izin hakim, perlu memberikan alamat di mana mereka tinggal, dan mematuhi semua arahan mahkamah dan polis, kata kenyataan itu.

“Keputusan hakim tidak boleh dirayu,” katanya.

Sepanyol mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka Jumaat lalu selepas gagal hadir ke mahkamah berhubung dakwaan pemberontakan, hasutan dan salah guna dana awam. – AFP, 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen