SKMM tahan lelaki sebar berita palsu koronavirus


Penyebaran berita palsu mengenai wabak koronavirus dipandang serius pihak berkuasa. SKMM semalam menahan seorang lelaki kerana coretannya di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan seorang lelaki kerana disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus (2019-nCoV).

Lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Bangi, Selangor pada 4 petang semalam untuk disiasat berhubung satu kandungan yang dimuat naik ke Facebook pada Ahad lalu, kata SKMM.

“Kandungan mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) itu didapati palsu,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, pagi ini.

“Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha MCMC dan PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai wabak 2019-nCov oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.”

SKMM dengan kerjasama polis turut merampas telefon genggam dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu tersebut ke Facebook.

Menurut SKMM, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 

1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya. Mereka yang didapati bersalah boleh juga  didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam pada itu, SKMM dan Polis Di-Raja Malaysia masih mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan.

“Ini menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” kata kenyataan itu.

Pada Isnin lalu, SKMM dan Polis Di-Raja Malaysia memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan virus yang berasal dari Wuhan, China itu.

SKMM juga mengingatkan mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen