Anak kapal dari China akan disaring, kata Kementerian Kesihatan


Pelancong memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus. Proses saringan dijalankan di semua pintu masuk negara seperti lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan untuk mencegah penularan wabak berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2020.

ANAK kapal yang berasal dari China akan dikuarantin dan disaring sebelum dibenarkan berlabuh, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

“Di pelabuhan, semua kapal dari China akan dikuarantin dan disaring di limbungan kapal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kargo dibenarkan untuk dipunggah dan anak kapal akan dibenarkan turun sebaik sahaja mereka didapati sihat dan mempunyai rekod kesihatan yang baik.

Proses saringan dijalankan di semua pintu masuk negara seperti lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.

Terdapat 64 pintu masuk di seluruh negara.

Terdahulu hari ini, Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) menggesa pegawai perubatan di pelabuhan menjalankan pemeriksaan ketat terhadap kru kapal yang tiba dari wilayah dilanda wabak koronavirus di China.

Setiausahanya Zaini Nodin berkata ia bagi menghalang wbaak berkenaan daripada tersebar kepada pekerja pelabuhan Malaysia.

“Jabatan Marin perlu arahkan pegawai perubatan pelabuhan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas anak kapal dari wilayah dilanda wabak di China yang berlabuh di pelabuhan Malaysia.

“Hanya pegawai perubatan pelabuhan berhak untuk naik ke atas kapal dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua anak kapal,” katanya. – 28 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen