Khazanah lapor polis kertas lembaga pengarah tentang MAS bocor


Dokumen berkaitan masalah dihadapi MAS disediakan untuk Lembaga Pengarah Khazanah Nasional bocor sepenuhnya, memaksa laporan polis dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2020.

KHAZANAH Nasional Bhd membuat laporan polis semalam mendakwa kertas lembaga pengarahnya mengenai syarikat bermasalah Malaysia Airlines Bhd bocor sepenuhnya, lapor The Edge.

Laporan memetik sumber berkata, kebocoran itu “bukan kebocoran maklumat biasa kepada media” kerana keseluruhan pendapat dana kekayaan negara itu tentang masalah syarikat penerbangan negara itu diberikan sepenuhnya kepada portal berita yang mula-mula menyiarkannya.

Khazanah yang merupakan pemilik tunggal kepentingan MAS, membuat laporan itu untuk mengekang kesan buruk kebocoran tersebut yang antara lain mendedahkan pelan penggabungan MAS dengan AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

Sumber The Edge menyebut yang Khazanah bimbang integiritnya tergugat kerana kebocoran itu boleh menyukarkan sebarang rundingan dengan pihak ketiga.

Portal menyebut dokumen tersebut hanya diketahui dan dimaklumkan kepada sekumpulan kecil individu yang berkenaan dengan isu tersebut. – 24 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen