100 hari berlalu, tiada petunjuk Utusan kembali beroperasi


SM Amin Mohd Farhan Darwis

SUDAH 100 hari berlalu selepas Kumpulan Utusan menggulung syarikat mereka namun tiada sebarang tanda perniagaannya akan kembali beroperasi seperti dijanjikan.

Bekas kakitangan akhbar penerbitan itu pula terus bergelut dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan dan meneruskan hidup.

Bekas Presiden NUJ Malaysia, cawangan Utusan Malaysia Mohd Taufek Razak berkata beliau masih belum menerima sebarang maklumat daripada pelikuidasi sejak diberi taklimat pada 6 November.

“Waktu itu mereka katakan nak cairkan dulu aset syarikat dalam tempoh enam bulan, tetapi masih belum ada sebarang perkembangan terkini yang diterima.

“Kami pun tak tahu aset mana yang dicairkan,” katanya yang masih belum berjaya mendapat pekerjaan baharu.

Menurut Taufek, bekas kakitangan masih menunggu tunggakan gaji bagi bulan September dan Oktober, pampasan pemberhentian kerja dan tuntutan lain seperti tuntutan kerja lebih masa dan perubatan.

Bulan itu merupakan penamat bagi Utusan apabila lembaga pengarah syarikat membuat keputusan menutup operasi syarikat tersebut pada 9 Oktober.

Dua hari sebelumnya, lembaga pengarah itu meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang.

Ditanya mengenai laporan yang menyebut Utusan akan kembali beroperasi Februari ini, Taufek berkata mereka tiada sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Kalau kata Utusan nak buka semula pun kami tiada berita dan maklumat. Syarikat Utusan dah tutup, sama ada nak buat syarikat baru atau beroperasi semula pun kami tiada maklumat,” kata Taufek.

Pengerusi eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir waktu itu berkata langkah tersebut terpaksa diambil kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.

Satu-satunya cara untuk Utusan membayar tuntutan berkenaan adalah dengan melupuskan aset yang ada, namun proses itu mengambil masa, kata bekas penolong ketua pengarang, Zaini Hassan.

“Proses itu ambil masa, kalau sudah cukup dana akan diagihkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya dana itu perlu dibayar mengikut keutamaan – kepada pemiutang terlebih dahulu, diikuti bekas kakitangan dan yang terakhir kakitangan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Tunggu pelikuidasi lagi. Bila semua prodes berjalan barulah bayaran dibuat. Buat sementara ini tidak ada lagi bayaran utk VSS atau kakitangan yang diberhentikan,” katanya.

Beliau juga tidak tahu menahu mengenai laporan mendakwa Utusan akan kembali beroperasi.

“Nak buka balik saya tidak ada gambaran, terpulang kepada pihak yang ambil permit. Setakat ini tidak ada berita apa apa lagi,” kata Zaini.

Seorang bekas wartawannya menganggarkan, hanya sekitar 40% daripada bekas kakitangan berjaya mendapat pekerjaan selepas syarikat gulung tikar.

Itupun, ramai yang terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing dan penghantar makanan, selain menjadi ejen penjual produk, kata Ahmad Syukri Shaari.

“Majoriti memang tidak ada kerja lagi terutamanya mereka yang berjawatan besar sebelum ini. Rasanya yang dapat kerja dalam 30% hingga 40% sahaja.

“Bayangkan editor (terpaksa menjadi pemandu) Grab, (penghantar makanan) Foodpanda. Yang lain ada yang jadi ejen jual produk hanya untuk survive.

“Untuk dapat pendapatan seperti gaji sebelum itu, memang tidak sampai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perkara ini turut diakui seorang lagi bekas wartawan Utusan, Mohammed Khairul Mohd Ali, 35, yang berpendapat keadaan sekarang ini bukan waktu memilih pekerjaan.

“Saya sekarang berkhidmat sebagai wartawan dengan portal Johorkini. Peluang yang ada saya ambil saja dulu, tak boleh terlalu memilih,” katanya. – 20 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen