BN kritik Pakatan pasal tol, tapi tak pernah cuba turunkan caj, kata Guan Eng


Tidak seperti kerajaan lama yang menaikkan kadar tol, Pakatan Harapan mengurangkan tol sebanyak 18% walaupun melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

BARISAN Nasional  (BN) tidak pernah mengurangkan tol seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH), kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan berkata kerajaan terdahulu sebaliknya melanjutkan konsesi tol dari 2018 hingga 2038 tanpa mengurangkan kadar tol.

“Tidak seperti kerajaan lama yang menaikkan kadar tol, kami mengurangkan tol sebanyak 18% walaupun melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun.

“Saya tidak fikir mereka layak mengkritik kami kerana mereka tidak menurunkan tol semasa berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu majlis keselamatan jalan raya di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berharap rakyat akan menghargai perbezaan keputusan antara dua kerajaan itu.

Katanya buat masa ini kerajaan PH mampu untuk mengurangkan kadar tol.

“Kenapa kerajaan BN tidak boleh melakukannya (kurang kadar tol) tetapi kita boleh?

“Ini kerana BN dilihat mahu melindungi kepentingan syarikat besar, tidak seperti kerajaan PH yang melihat kepentingan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa mutu lebuh raya tidak akan terjejas dengan pengurangan harga tol di semua lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS) sebanyak 18% dan penangguhan kenaikan kadar tol.

Perdana menteri berkata PLUS memberi jaminan pemegang konsesi tersebut masih boleh membiayai kerja penyelenggaraan dan pemulihan lebuh raya.

“(PLUS) bagi pengakuan dengan mengurangkan (harga) tol sebanyak 18% dan tidak ada kenaikan tol selama 38 tahun, dia dapat perolehan mencukupi membiayai kerja-kerja pemulihan dan penyelengaraan.

“Kita percaya kegunaan jalan akan meningkat dan tambah pendapatan Khazanah, dan kita dapati (PLUS ada) punca pendapatan lain seperti iklan dan lain-lain,” kata beliau.

Minggu lalu, Putrajaya berkata semua kadar tol di lebuh raya milik PLUS akan dikurangkan sebanyak 18% bermula 1 Februari.

Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Lanjutan tempoh konsesi Plus selama 20 tahun bermula 2038 hingga 2058 adalah sejajar dengan keputusan untuk mengurangkan kadar tol, kata jabatan itu

Ini bermakna tiada kenaikan tol di lebuh raya PLUS untuk tempoh 38 tahun bermula tahun ini.

Lanjutan tempoh konsesi juga bermaksud kerajaan tidak perlu membayar pampasan kepada PLUS kerana tidak boleh menaikkan kadar tol.

Sehari sebelumnya, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengekalkan PLUS walaupun menerima tawaran pengambilalihan daripada beberapa syarikat swasta. – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen