Zuraida diberi 14 hari jawab surat tunjuk sebab


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata naib presiden parti Zuraida Kamaruddin dikenakan surat tunjuk sebab dan diberi tempoh 14 hari untuk beri penjelasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Januari, 2020.

ZURAIDA Kamaruddin dikenakan surat tunjuk sebab, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, tetapi tidak memberikan aduan khusus terhadap naib presiden parti itu.

Saifuddin berkata Zuraida ada 14 hari dari tarikh surat (17 Januari) untuk memberikan penjelasan berkenaan tindakannya baru-baru ini.

“Bermula semalam, beliau ada 14 hari untuk beri penjelasan. Selepas tempoh itu, lembaga disiplin akan membuat keputusan tindakan selanjutnya.

“Itu di bawah tanggungjawab pengerusi lembaga disiplin Ahmad Kassim,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kepimpinan pusat PKR hari ini.

Kes Zuraida antara aduan yang dirujuk kepada lembaga disiplin parti selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata beliau tidak tahu tentang aduan terhadap Zuraida.

“Saya tidak tahu mengenai laporan itu,” katanya menjawab soalan wartawan mengapa Zuraida dikenakan surat tunjuk sebab.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan tidak hadir mesyuarat hari ini kerana beliau berada di Sabah.

Majoriti ketua PKR negeri mahu Zuraida dipecat

Sementara itu, sembilan pemimpin negeri yang mengadakan mesyuarat mereka sendiri selepas mesyuarat kepimpinan pusat, menggesa lembaga disiplin parti untuk memecat Zuraida.

Ketua PKR Kedah Johari Abdul berkata kumpulan yang mewakili ketua-ketua cabang di negeri mereka merasakan Zuraida tidak menyumbang kepada parti atau presiden Anwar Ibrahim.

“Kehadirannya tidak masuk akal. Dia hanya memburukkan keadaan dan mungkin membahayakan parti, “katanya.

Johari berkata kumpulan itu sanggup mengambil risiko mengundang kemarahan sayap wanita parti yang memberi sokongan kuat kepada Zuraida.

Zuraida didakwa tidak hadir banyak kali ke mesyuarat dan sering mengeluarkan kenyataan yang menentang Anwar di media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap ahli atau pemimpin yang melanggar peraturan dan perlembagaan parti.

Katanya Zuraida tidak hadir banyak kali ke mesyuarat dan mengeluarkan kenyataan yang menentang Anwar di media.

Selain Johari, 8 ketua negeri yang mendesak Zuraida dipecat ialah Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak), Halim Bachik (Melaka), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Fuziah Salleh (Pahang), Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan) dan Amran Kamarudin (Perlis).

Sementara itu, Ketua PKR Perak Farhash Wafa berkata Zuraida tidak memiliki sokongan yang kuat seperti yang disangka.

“Ianya tidak benar dalam kalangan akar umbi. Jika anda melihat Perak sebagai contoh, 22 daripada 24 cabang mahu Zuraida dipecat,” katanya.

Farhash Wafa berkata situasi yang sama juga berlaku dalam sayap pemuda dan wanita.

“Kalau nak katakan beliau ada sokongan kuat, itu tidak benar.”

Turut bersetuju dengan Farhash Wafa adalah Ketua PKR Pahang Fuziah Salleh.

Fuziah berkata Zuraida tidak hadir mana-mana 13 mesyuarat kepimpinan pusat.

Ketua PKR Selangor, Sarawak dan Sabah juga tidak hadir ke mesyuarat itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata lembaga disiplin akan membuat keputusan sama ada mahu menggantung keahlian Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz yang dilaporkan ditahan bersama Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Semenyih Adhif Syan Abdullah dari Bersatu baru-baru ini.

Mereka berdua antara sejumlah individu yang ditahan dalam sebuah parti dadah di Puchong. – 18 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen