Kumpulan sokong, anti Zuraida bertembung di luar ibu pejabat PKR


Ragananthini Vethasalam

Pertembungan antara kumpulan membawa sepanduk “Suatu Suara, Pecat Zuraida” yang mendesak Zuraida dipecat dari parti, dengan kumpulan penyokong menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Januari, 2020.

DUA kumpulan ahli akar umbi PKR bertembung di luar bangunan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya pagi ini, ketika Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedang bermesyuarat untuk menentukan tindakan tatatertib ke atas Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.

Pertembungan antara kumpulan membawa sepanduk “Suatu Suara, Pecat Zuraida” yang mendesak Zuraida dipecat dari parti, dengan kumpulan penyokong menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Mesyuarat MPP hari ini dilaporkan akan membincangkan gesaan dari dalam parti itu yang mahu beliau Zuraida dipecat ekoran ucapan beliau pada sebuah majlis makan malam Disember lalu, yang didakwa mencemar nama Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 50 orang.

Pertembungan aman antara dua kumpulan itu kemudian bertukar kecoh apabila masing-masing saling bertikam lidah.

Kumpulan penyokong Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin di luar ibu pejabat parti itu pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Januari, 2020.

Antara pemimpin tertinggi PKR yang hadir pada mesyuarat hari ini ialah Anwar, Penasihat parti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Tiada kelibat Zuraida dilihat memasuki bangunan ibu pejabat PKR.

Gesaan supaya Zuraida dipecat timbul selepas ahli akar umbi membuat aduan berhubung ucapannya pada majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” pada 8 Disember lalu.

Pertembungan aman antara dua kumpulan itu kemudian bertukar kecoh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Januari, 2020.

Majlis makan malam itu dianjurkan oleh pimpinan parti yang dekat dengan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, dan berlangsung sejurus selepas Kongres Nasional PKR tamat pada sebelah petang di Melaka.

Kumpulan penyokong Azmin sebelum itu bertindak memulaukan kongres di Melaka kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kongres. Mereka menyifatkan ia digunakan untuk mengecam Azmin.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu, Zuraida berkata Anwar cuba menyakinnya bahawa Azmin adalah lelaki dalam rakaman video seks yang tersebar pada Jun lalu. Azmin menafikan beliau individu tersebut.

Zuraida juga mempersoalkan kepimpinan Anwar dan berkata presiden PKR itu dipengaruhi oleh beberapa orang tertentu dalam membuat keputusan.  – 18 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen