Khazanah akan bincang inisiatif penstrukturan tol dengan kerajaan, PLUS 


Khazanah dalam kenyataannya menyatakan bahawa pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus akan melibatkan lebuh raya kendalian PLUS, iaitu NSE, NKVE, (ELITE). – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

KHAZANAH Nasional Bhd akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan PLUS Malaysia Bhd bagi inisiatif penstrukturan tol yang diumumkan hari ini, yang akan menyaksikan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Khazanah juga akan memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan berkesan untuk faedah pengguna lebuh raya, selain mengekalkan kepentingan dan hak semua pihak berkepentingan utama, termasuk pemegang hutang PLUS.

Pengarah Urusannya, Shahril Ridza Ridzuan yang mengalu-alukan keputusan penstrukturan semula tol itu berkata Khazanah sedar kerumitan untuk memenuhi tuntutan semua pihak berkepentingan utama, khususnya rakyat Malaysia.

“Keputusan untuk mengurangkan kadar tol untuk pengguna lebuh raya PLUS sambil memberikan penjimatan yang ketara kepada kerajaan merupakan langkah yang penting.

“Selain itu, keputusan mengekalkan PLUS di bawah penguasaan pemegang saham sedia ada akan dapat memastikan mutu keselamatan, keselesaan dan kemudahan yang kini dinikmati oleh para pengguna akan dapat terus dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril Ridza berkata cabang pelaburan negara itu kini boleh membincangkan langkah seterusnya tentang pelaksanaan inisiatif ini dengan semua pihak berkepentingan.

“Khazanah dan PLUS akan mengumumkan butiran lanjut mengenai inisiatif penyusunan semula tol ini selepas mengadakan rundingan selanjutnya dengan kerajaan dan pihak berkepentingan utama lain,” katanya, yang turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengekalkan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai pemegang saham PLUS.

Khazanah dalam kenyataannya menyatakan bahawa pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus akan melibatkan lebuh raya kendalian PLUS, iaitu Lebuhraya Utara Selatan (NSE), Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE).

Lebuhraya lain ialah, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Kadar tol yang dikurangkan akan dikekalkan sepanjang tempoh konsesi lebuh raya yang akan dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 hingga 2058.

Selain itu, semua pampasan tol yang belum dibayar serta pampasan pada masa depan akan diketepikan, sekali gus memberikan penjimatan keseluruhan berjumlah kira-kira RM42 bilion kepada kerajaan.

Awal hari ini Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa caj tol bagi pengguna kenderaan persendirian yang memasuki lebuh raya  kendalian PLUS akan dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Feb dan tidak akan ada kenaikan tol sehingga 2058.

Keputusan berkaitan perkara itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 15 Jan. – Bernama, 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen