Bakal CEO baharu prasarana, MAHB warga Malaysia, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng bercakap kepada media pada sidang akhbar hari ini berkenaan pelantikan CEO baharu Prasarana dan MAHB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Januari, 2020.

KETUA pegawai eksekutif (CEO) baharu untuk Prasarana Malaysia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah warga tempatan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Kedua-duanya adalah aset strategik dan operator pengangkutan yang penting,” katanya kepada media pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian tambahan untuk projek MRT 2 antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT hari ini.

“Dua jawatan CEO itu akan dipegang oleh rakyat tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lembaga pengarah dua syarikat itu masih belum mengesyorkan senarai calon berpotensi kepada kerajaan.

Senada dengan Loke, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ada ramai golongan profesional rakyat Malaysia yang boleh menyandang jawatan itu tetapi masalahnya ialah untuk mendapatkan calon yang tepat.

“Golongan profesional mencukupi untuk buat kerja itu, apa yang perlu ialah mencari individu yang tepat,” katanya.

Prasarana ialah anak syarikat dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) sementara Khazanah Nasional Bhd memegang saham majoriti dalam MAHB iaitu 33.21%.

Kedua-dua organisasi itu tiada CEO pada masa ini susulan seorang CEO digantung dan seorang lagi meletak jawatan.

The Malaysian Insight pada 7 Januari melaporkan lembaga pengarah Prasarana menggantung CEO Mohamed Hazlan Mohamed Hussin sebelum Krismas lalu, susulan rakyat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan LRT.

Aduan kebanyakannya tentang kualiti sistem LRT yang teruk dan masalah itu tidak diselesaikan.

Sehari sebelum itu, MAHB berkata ia memaklumkan Bursa Malaysia, CEO Raja Azmi Raja Nazuddin meletak jawatan.

Lembaga pengarah pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata Ketua Pegawai Operasi Mohd Shukrie Mohd Salleh dilantik sebagai pemangku CEO.

Loke sebelum ini berkata pelantikan CEO bagi kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. – 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen