Trump gesa Apple bantu akses data telefon pintar penembak Saudi


Presiden Donald Trump gesa Apple membantu akses data dalam dua telefon pintar iPhone, digunakan juruterbang Saudi dalam serangan di pangkalan tentera laut di Florida bulan lalu. – Gambar EPA, 15 Januari, 2020.

PRESIDEN Donald Trump menggesa Apple membantu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengakses data dalam dua telefon pintar iPhone, digunakan juruterbang Saudi yang terbabit dalam serangan di pangkalan tentera laut di Pensacola, Florida bulan lalu, lapor agensi berita Anadolu.

“Selama ini kami membantu Apple dalam perdagangan dan banyak isu lain, namun mereka masih enggan membantu kami mengakses data yang terdapat dalam telefon pintar digunakan oleh pembunuh, pengedar dadah dan jenayah lain. Mereka perlu membantu negara sekarang untuk mewujudkan semula negara “Amerika yang hebat,” kata Trump di Twitter.

Tweet beliau menyusul sehari selepas Apple dilaporkan menolak permintaan Peguam Negara Bill Barr.

Pada 6 Disember, Mohammed Alshamrani, seorang leftenan II Angkatan Udara Diraja Saudi yang juga merupakan pelajar penerbangan di Naval Aviation Schools Command, menembak dan membunuh tiga anggota perkhidmatan AS selain mencederakan lapan yang lain sebelum suspek ditembak mati oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini, Apple tidak membantu kami dalam siasatan tersebut,” kata Barr pada sidang akhbar.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menolak penciriannya dan mengatakan pihaknya memberi maklum balas yang sepatutnya sejak serangan tersebut. – Bernama, 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen