Pelajar Australia dakwa dipaksa Korea Utara mengaku mengintip


Alek Sigley tersenyum ketika tiba di lapangan terbang Haneda International di Tokyo, Jepun pada 4 Julai 2019 selepas dibebaskan oleh Korea Utara. – Gambar EPA, 15 Januari, 2020.

PELAJAR warga Australia yang ditangkap kerana mengintip dan diusir dari Korea Utara tahun lepas berkata beliau dipaksa menulis pengakuan bersalah ketika ditahan secara incommunicado.

Alek Sigley ketika itu sedang belajar kesusasteraan Korea moden di Universiti Kim Il Sung di Pyongyang apabila hilang pada Jun, mencetuskan kegemparan antarabangsa.

Canberra tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Pyongyang dan meminta bantuan Sweden.

Stockholm menghantar seorang utusan khas dan Sigley dibebaskan selepas sembilan hari dalam tahanan - tempoh yang lebih pendek berbanding beberapa warga asing yang ditangkap kerajaan authoritarian Utara.

Sigley pernah menulis artikel untuk beberapa penerbitan ketika di Pyongyang dan pihak berkuasa Korea Utara menuduh beliau melakukan pengintipan, berkata mereka membebaskannya dengan alasan toleransi kemanusiaan.

Menulis dalam jurnal akademik “Monthly North Korea”, Sigley berkata beliau dipaksa mengaku salah semasa ditahan.

“Dari sudut pandangan saya, saya tidak bersalah tetapi dituduh secara salah oleh pihak berkuasa,” katanya. “Mereka terus memaksa saya menulis ‘permintaan maaf’ seolah-olah mereka mahu mengajar saya.”

Penangkapannya adalah titik perubahan dalam hidup Sigley dan menggambarkannya sebagai “diculik” oleh polis rahsia Korea Utara.

Sigley yang fasih berbahasa Korea dan biasa dengan Utara, menganjurkan lawatan ke negara terpencil dan berkahwin dengan isteri warganegara Jepun di sana pada 2018.

Pada 2017, pelajar Universiti Virginia, Otto Warmbier, yang dipenjarakan ketika melawat Korea Utara, koma ketika ditahan, meninggal beberapa hari selepas tiba di Amerika Syarikat. – AFP, 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen