Ekonomi Labuan perlu perhatian dan fokus, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata dengan adanya institusi kewangan dan bank pelbagai saiz yang beroperasi di Labuan, seharusnya pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini bergerak seiring dengan pembangunan sektor kewangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2020.

MESKIPUN Labuan dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa namun pembangunan ekonominya masih lagi lembab dan memerlukan perhatian serta fokus untuk memajukannya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata dengan adanya institusi kewangan dan bank pelbagai saiz yang beroperasi di Labuan, seharusnya pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini bergerak seiring dengan pembangunan sektor kewangannya.

“Pelbagai isu ekonomi, kos sara hidup dan harga barangan mahal dibangkitkan kepada saya, dan sudah semestinya isu-isu ini perlu diberi perhatian.

“Labuan tersepit dengan permasalahan ekonomi yang memerlukan perhatian,” katanya pada majlis ramah-mesra bersama para pemimpin dewan perniagaan Labuan, di Dorsett Grand Hotel, hari ini.

Mohd Hatta berkata Labuan juga sama seperti Langkawi, dan apa yang dibangunkan di Langkawi boleh juga dibangunkan di pulau ini dan begitu juga di Pulau Pangkor.

“Tujuan memberi status bebas cukai itu adalah untuk memaksimumkan apa yang ada untuk warga tempatan dan dinikmati pelawat.

“Oleh yang demikian, apa yang dirancang untuk pulau bebas cukai, harus juga difikirkan untuk pulau-pulau bebas cukai lain, sama ada di Pangkor, Labuan ataupun Tioman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hatta turut menasihati usahawan agar mengelak daripada terlibat dalam aktiviti perniagaan yang mencetuskan perpecahan.

“Sebagai contoh, ada unsur-unsur yang mencetuskan kemarahan peniaga melalui pelbagai platform termasuklah memboikot produk keluaran peniaga Islam,” katanya.

Beliau menggesa para usahawan agar bekerjasama untuk kestabilan ekonomi negara.

“Isu boikot-memboikot sebenarnya adalah dicetuskan oleh sekumpulan kecil namun aktif di media sosial.

“Usahawan tidak seharusnya mengamalkan cara ketam untuk naik dengan menjatuhkan pihak yang lain,” katanya.

Mohd Hatta turut menjelaskan kementeriannya akan sentiasa membantu para usahawan khususnya yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kerajaan mengambil perhatian sumbangan IKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih 38 peratus dan meletak sasaran lebih 50 peratus tahun ini,” katanya.  – Bernama, 12 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen