Kesatuan guru harap menteri baru turun padang selami masalah pendidikan


Ragananthini Vethasalam

NUTP berkata menteri yang dilantik perlu berkeupayaan menguruskan kementerian itu yang mempunyai masalah berpanjangan dan sentiasa menjadi sasaran politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2020.

MENTERI pendidikan baharu yang akan dilantik perlu melawat sekolah-sekolah bagi memastikan dasar kementerian dilaksanakan dengan baik, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
 
Setiausaha agungnya, Harry Tan berkata menteri terbabit juga perlu berkeupayaan menguruskan kementerian itu yang mempunyai masalah berpanjangan dan sentiasa menjadi sasaran politik.

“Turun ke lapangan dengan lebih kerap dan lihat sama ada yang dirancang dilaksanakan secara berkesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan berkata buat sementara, kesatuan itu tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan pemangku menteri pendidikan.

Perdana menteri memangku jawatan itu buat sementara selepas penyandangnya, Dr Maszlee Malik meletak jawatan itu pada 3 Januari lalu.

“Apa yang lebih penting adalah menteri terbabit perlu kekal fokus dan mampu menyelesaikan masalah berbangkit,” kata Tan.

“Kami tidak terlibat dengan politik dan akan bekerjasama dengan mana-mana menteri pendidikan demi kebaikan sistem pendidikan kita,” katanya.

“Keperluan kami adalah penglibatan berterusan supaya menteri dapat meneliti program, projek, keperluan profesional untuk memastikan kejayaan dasar kerajaan,” katanya sambil  menambah kementerian itu adalah penerima peruntukan bajet paling tinggi.
 
Tan berkata Dr Mahathir juga perlu menangani isu hala tuju kurang jelas kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijalankan di kolej-kolej kejuruan.

“Perlu ada hala tuju kerana ibu bapa suda berasa kecewa. Kita dimaklumkan bahawa jumlah pendaftara (TVET) semakin menurun,” katanya. – 11 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen