Penduduk terkejut SJKC hendak dibina di tapak rizab SK


SM Amin

Penduduk Puchong Utama tidak puas hati dengan pembinaan SJKC di atas tanah rizab sekolah kebangsaan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2020.

PENDUDUK Puchong Utama terkejut apabila mengetahui kerajaan cuba membina sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) di satu tanah rizab yang dikhaskan bagi sekolah kebangsaan di situ.

Wakil penduduk, Salihin Hajah memberitahu The Malaysian Insight, mereka mula mengesyaki pembinaan SJKC itu bakal dimulakan apabila tanah lapang itu dibersihkan kontraktor minggu lalu.

“Saya tanya orang sekeliling, hendak bina apa, mereka jawab SJKC. Saya terkejutlah,” katanya yang memulakan gerakan bantahan penduduk.

Salihin, 55, berkata wakil penduduk seterusnya mengunjungi pejabat pemaju kawasan Puchong Utama 4 pada Isnin lalu bagi melihat pelan induk asal bagi pembangunan kawasan tersebut.

Jelasnya, semakan itu mendapati tanah rizab itu sememangnya dikhaskan sebagai tapak untuk Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 4.

Seterusnya, semakan wakil penduduk di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pula mendapati tapak tersebut diwartakan untuk pembinaan sekolah rendah agama (SRA), katanya.

“Memang (dinyatakan) tapak sekolah kebangsaan di pelan induk. Selepas itu pergi ke pejabat tanah, kita terperanjat kerana tapak tersebut digazetkan untuk sekolah rendah agama.

“Persoalan sekarang ini bagaimana tapak sekolah kebangsaan atau sekolah rendah agama hendak dibina SJKC?” soalnya.

Beliau seterusnya menghubungi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada Selasa bagi memeriksa status kelulusan kerja pembersihan yang dijalankan.

Ini kerana, beliau melihat kerja pembersihan itu masih dijalankan oleh kontraktor lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada waktu itu, katanya.

Susulan daripada itu, MPSJ bertindak menyita kawasan berkenaan dan mereka dikunjungi Adun Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud pada Rabu lalu bagi membincangkan isu tersebut, kata Salihin.

Dalam pertemuan itu, Adun Amanah itu antara lain memberitahu mereka, KPM meluluskan pemindahan SJKC Poi Min, dari Gopeng, Perak ke kawasan tersebut, katanya.

SRJKC yang dilaporkan mengalami masalah kekurangan murid serius difahamkan sudahpun ditutup.

Kata Salihin, Siti Mariah juga memberitahu mereka, peruntukan itu diluluskan dalam bajet 2020.

Adun itu juga memberitahu mereka, tapak tersebut sudah memang tanah rizab untuk sekolah kebangsaan yang kemudiannya ditukar menjadi tapak SRA, katanya.

Seorang lagi penduduk, Taufiq Ilhami ketika ditemui The Malaysian Insight berkata permohonan untuk membina SJKC di tapak tersebut dibuat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pada 2010.

Bagaimanapun penduduk memnbatah permohonan Kok, yang merupakan exco Selangor ketika itu, kerana melihat keperluan lebih mendesak adalah membina SK atau SMK, katanya.

“Sekolah Menengah Puchong Utama 1 sekarang ini jumlah pelajar hampir mencecah 4,000 murid. Kalau tidak dibina sekolah kebangsaan sekalipun, penduduk minta dibina sekolah menengah,” katanya.

Tambahnya SRJKC Poi Min sepatutnya dipindah ke Puchong Perdana, yang didakwanya sudah mempunyai tanah rizab untuk sekolah vernakular.

“Kalau dibina di (Puchong Perdana), tidak menjadi masalah. Sekarang ini isunya kenapa hendak dibina SJKC di atas tanah rizab sekolah kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Mariah ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan bahawa tanah tersebut memang asalnya diwartakan untuk tapak sekolah bawah KPM sejak 1997.

Tambahnya, KPM bagaimanapun gagal membayar premium tanah menyebabkan permohonan untuk guna tanah tersebut sering ditolak sebelum ini.

Adun Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud berkata KPM meluluskan pemindahan SJKC Poi Min, dari Gopeng, Perak ke Puchong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2020.

Bagaimanapun, kementerian membayar premium untuk membina SRJKC Poi Min pada 2019, namun proses itu tidak dapat diteruskan, katanya.

“Sehinggalah pada 2019, ada surat daripada KPM kepada MPSJ, tanah itu dipohon untuk tapak sekolah SJKC Poi Min. Mereka memohon dengan membayar premium, mengikut prosedur.

“Tetapi lepas PDT buka fail, baru tahu tanah itu telah diwarta untuk SRA,” katanya yang menjelaskan ia diwarta pada 2017 untuk SRA bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Tambah Mariah, Jais membuat permohonan itu pada 2014 manakala KPM memohon untuk pembinaan SJKC tahun lalu tanpa mengetahui tapak tersebut telah diberikan kepada jabatan itu.

“Maknanya memang ada kesilapan komunikasi antara PDT dan KPM. KPM tidak tahu tanah itu telah dianugerahkan kepada Jais. Bila sudah warta, tidak boleh buat apa-apa. Kes tutuplah.

“Di Selangor, permohonan KPM tidak akan diproses selagi tidak tunjuk hak milik. Jadi tanah itu belum menjadi hak milik KPM,” katanya.

Sementara itu, sumber PDT Petaling memberitahu The Malaysian Insight, tiga lagi tanah rizab sekolah kebangsaan di Selangor dipohon oleh KPM untuk ditukar status menjadi SJKC.

Dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, empat tanah rizab sekolah kebangsaan itu melibatkan dua tanah terletak di Puchong, satu di Kuala Selangor dan satu lagi di Sepang. – 12 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen