Akar umbi PKR tak senang pemimpin pusat pegang jawatan di Pulau Pinang


The Malaysian Insight

Tindakan pusat meletakkan pemimpinnya di pentadbiran Pulau Pinang dikatakan menimbulkan rasa kurang senang PKR Pulau Pinang. Tindakan peletakan itu dikatakan arahan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November 2017.

TINDAKAN Anwar Ibrahim mengukuhkan kepimpinan PKR Pulau Pinang dengan pemimpinan peringkat pusat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin negeri yang bimbang kehilangan jawatan penting kerajaan negeri.

Antara yang dijangka memegang jawatan tinggi ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang dilantik sebagai penasihat strategik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Januari tahun ini.

Nama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga timbul. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dikatakan akan bertanding di Pulau Pinang bagi mempertahankan kerusi lama ayahnya, Permatang Pauh walaupun masih tidak ada pengumuman rasmi parti lagi.

Sebelum ini dilaporkan yang PKR Pulau Pinang tidak berapa gembira dengan keputusan pusat membuat keputusan tanpa berunding dengan pemimpin negeri; dan ketidaksenangan terbaru wujud kerana Saifuddin dinamakan sebagai bakal Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang (MAINPP).

Sumber PKR memberitahu The Malaysian Insight yang pemimpin tempatan parti itu di Pulau Pinang tidak gembira dengan pencalonan itu.

“Kepimpinan PKR Pulau Pinang tidak mengetahui apa-apa mengenai Saifuddin sehinggalah dia sampai ke negeri itu. Mereka tidak diajak berbincang,” kata sumber PKR itu.

Seorang lagi sumber dalam parti mengatakan wujud kemungkinan besar pemimpin negeri akan melakukan bantahan kepada kepimpinan pusat mengenai perkara itu.

Apatah lagi, PKR Pulau Pinang sudang mencalonkan seorang pemimpin negeri, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon untuk jawatan tertinggi MAINPP itu, kata sumber itu.

Kepimpinan MAINPP sekarang diterajui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Mohd Salleh Man yang khidmatnya dijangka tamat pada 31 Disember ini. Yang Dipertua MAINPP adalah ketua agama Islam di negeri tanpa sultan seperti Pulau Pinang dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,

Salleh adalah satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang tetapi mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan DAP.

Memandangkan PAS sudah tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), besar kemungkinan jawatan itu tidak akan diserahkan kepada pemimpin parti Islam itu lagi sekiranya tempoh khidmat Salleh tidak dilanjutkan. Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

PKR dan DAP adalah rakan kerjasama dalam PH, kerajaan negeri diterajui DAP sejak 2008 dan exco kerajaan negeri juga ramai daripada parti itu, sedangkan PKR hanya mempunyai tiga exco, termasuk Rashid. Dua lagi ialah Abdul Malik Abul Kassim dan Dr Afif Bahardin.

Strategi untuk membawa pemimpin luar ke Pulau Pinang adalah sebahagian rancangan kepimpinan tertinggi PKR untuk menempatkan pemimpin parti itu dalam kerajaan negeri pimpinan DAP, kata sumber yang mengetahui selok belok kepimpinan tertinggi — dan arahan itu datang dari Anwar.

“PKR mahu meletakkan pemimpin Melayu berkaliber di depan. Anwar mahukan pemimpin Melayu PKR yang kalibernya setanding dengan DAP di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau mengesahkan yang cadangan pelantikan Saifuddin selaku presiden MAINPP datangnya dari Anwar sendiri yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh kerana kesalahan liwat.

Sumber mengatakan, Anwar percaya kepada kemampuan Saifuddin Nasution kerana kemahiran mentadbir, berkomunikasi dan strateginya bagus untuk diletakkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2017.

“Warkah dari Sungai Buloh menamakan Saifuddin sebagai calon jawatan. Itu keputusan Anwar.

“Keputusan yang dibuat awal tahun ini menimbulkan kekecohan dalam PKR Pulau Pinang,” katanya tetapi menambah yang Saifuddin juga dicalonkan kerana kemampuannya.

“Anwar mahukan Saifuddin kerana kemahiran pentadbirannya yang hebat. Dia ada rekod baik bekerja dalam kerajaan ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri.

“Dia juga ada kemahiran komunikasi yang bagus. Jika ada dua pihak bertelagah, Saifuddin ada kemahiran diplomatik untuk selesaikan,” kata sumber itu.

Bukan sekadar jawatan Yang Dipertua MAINPP tetapi nama Saifuddin juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, kata sumber itu lagi.

“Dua lagi nama yang juga timbul ialah Mansor Othman dan Nurul Izzah.

“PKR juga sedang berusaha menonjolkan pemimpin wanita yang berkemampuan. Ada kemungkinan Izzah akan bertanding di kerusi Parlimen dan negeri di Pulau Pinang,” kata sumber itu lagi.

Mansor yang merupakan ketua PKR Pulau Pinang sebelum ini adalah timbalan ketua menteri 1 negeri itu sebelum dia bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal dan menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2013.

Saifuddin gagal dihubungi untuk diminta penjelasan tetapi sebelum itu menghantar mesej pesanan ringkas kepada wartawan yang masih tidak ada pengumuman dilakukan kerajaan negeri mengenai kepimpinan MAINPP.

Ini selepas sebuah kumpulan Islam mengadakan bantahan di Komtar, mengatakan Saifuddin bukan calon yang layak untuk jawatan itu.

Jaringan Muslimin Pulau Pinang, kumpulan yang selalu mengadakan protes membantah keputusan kerajaan negeri juga mengecam pentadbiran PKR dan Pulau Pinang.

Pemimpin kumpulan itu, Mohd Hafiz Noordin mendakwa yang PKR adalah parti yang mempromosikan liberalisme dan pemimpin tertingginya seperti Saifuddin tidak boleh mengetuai agensi agama.

Katanya kumpulan itu akan mengadakan protes tentang pencalonan itu dan membawa perkara itu ke istana untuk memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mengenai “wajah sebenar” kerajaan Pulau Pinang dan PKR.

Pegawai Perhubungan Kerajaan Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin yang juga dikecam Hafiz dalam siri bantahan kepada PKR mengatakan parti itu bukanlah liberal seperti didakwa.

“PKR tak promosi Islam liberal. Ia mahu promosi pendekatan Islam progresif,” kata penceramah PKR itu yang baru sahaja berpindah ke Pulau Pinang dari Selangor untuk memegang jawatan dalam kerajaan negeri, juga kerana arahan parti. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen