Guan Eng tunggu cadangan nama pengganti CEO Prasarana, MAHB


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Eksekutif Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain digantung tugas sejak 24 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

KEMENTERIAN Kewangan sedang menunggu cadangan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung calon yang mempunyai potensi mengendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Prasarana Malaysia Bhd, kata Lim Guan Eng.

“Kami perlu menerima cadangan daripada Kementerian Pengangkutan. Masih menunggu mereka,” kata menteri kewangan itu kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Prasarana adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) manakala dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd menguasai kepentingan majoriti dalam MAHB dengan pegangan saham sebanyak 33.21%.Kedua-dua organisasi tersebut tidak mempunyai ketua pegawai eksekutif (CEO) berikutan penggantungan dan peletakan jawatan.

The Malaysian Insight melaporkan pada 7 Januari, Lembaga pengarah Prasarana menggantung tugas CEO Mohamed Hazlan Mohamed Hussin, sehari sebelum Krismas kerana ketidakpuasan awam terhadap perkhidmatan transit ringan (LRT).

Sehagaian besar aduan ini berhubung kualiti sistem LRT yang tidak berjaya diselesaikan.

Sehari sebelum itu, MAHB berkata dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia bahawa CEO Raja Azmi Raja Nazuddin meletak jawatan kerana menerima peluang lain. – 10 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen