Mahkamah perintah teruskan perbicaraan kes SRC International


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika hadir perbicaraan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Januari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati tiada merit dalam permohonan pihak pendakwa untuk mendakwa Najib Razak sebagai saksi dalam perbicaraan kes SRC International dan mengarahkan soal balas terhadap bekas perdana menteri itu diteruskan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak pagi tadi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pendakwa yang dibuat mengikut Seksyen 145(1) dan 155(c) Akta Keterangan 1950.

“Tidak ada bahan percanggahan yang jelas, dan maka tidak ada sebab untuk meneruskan proses pendakwaan,” kata Hakim, yang kemudian mengarahkan soal balas Najib diteruskan.

Terdahulu, ketika soal balas dilakukan pendakwa raya V. Sithambaram, Najib berkata ada percanggahan antara apa yang diberitahunya di mahkamah dan apa yang diberitahu kepada penyiasat ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Percanggahan itu berkaitan kenyataan Najib kepada SPRM, di mana beliau mengakui empat dokumen ditandatangani olehnya dan dalam kenyataan saksinya kemudian di mana ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh mengesahkan beliau menandatangani empat dokumen itu, dan hanya berkata tandatangan itu menyerupai tandatangannya.

Sithambaram: Anda setuju apa yang anda beritahu SPRM dan apa yang anda beritahu kami adalah sangat berbeza?

Najib: Ya, kerana ada sebab.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda kenyataan saksi anda, yang tebal, dan kenyataan saksi tambahan berkaitan empat ekshibit itu, bila dibandingkan dengan kenyataan kepada SPRM, sangat bercanggah iaitu sama ada anda pernah melihat dokumen ini dan menandatanganinya?

Najib: Ya.

Jika Najib didakwa, keterangannya tidak boleh diterima sebagai keterangan. Beliau juga mungkin boleh didakwa kerana memberikan keterangan palsu, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara.

Najib, 66, didakwa dalam perbicaraan SRC International membabitkan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti itu pada 2011 dan 2012, di mana Najib didakwa menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015. – 6 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen