Pesawat tentera Turki pindah mangsa bom Somalia


Turki merupakan sekutu utama Somalia. – Gambar EPA, 29 Disember, 2019.

PESAWAT tentera Turki tiba di Mogadishu pada hari Ahad untuk memindahkan mangsa-mangsa yang cedera parah dalam sebuah pengeboman dahsyat sehingga mengorbankan 79 orang dalam serangan terbaru pengganas.

Pesawat itu juga membawa pegawai perubatan untuk membantu merawat kira-kira 125 orang yang cedera dalam ledakan sebuah kereta yang berisi bahan letupan meletup di pusat pemeriksaan keselamatan di bandar itu.

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun Mohamed Abdullahi Farmaajo mengatakan ia dilakukan kumpulan militan Al-Shabaab yang kerap melakukan pengeboman kereta dan serangan lain di ibu negara.

Pengeboman pada Sabtu adalah yang paling dahsyat sejak letupan yang berlaku pada tahun 2017 berhampiran kapal tangki bahan api yang mengorbankan 500 orang.

Farmaajo menyalahkan “organisasi pengganas Al-Shabaab” dalam ucapan di televisyen dan mengecam perbuatan itu dengan menyifatkan sebagai percubaan untuk “menakutkan orang awam di Somalia dan membunuh mereka jika berpeluang melakukan perkara itu”.

Sekurang-kurangnya 16 orang yang terbunuh adalah pelajar Universiti Banadir yang terletak di bandar itu.

Pengarah perkhidmatan ambulans swasta Aamin, Abdukadir Abdirahman Haji, memberitahu AFP kira-kira 125 orang cedera akibat pengeboman tersebut.

Ketua pasukan keselamatan Somalia Abdi Hassan Mohamed mengatakan pada hari Sabtu bahawa 79 orang meninggal dunia, namun jumlah korban dijangka akan bertambah.

“Kami menerima doktor dan ubat pagi ini yang dihantar oleh kerajaan Turki dan kami sedang berusaha untuk memisahkan mereka yang cedera serius bagi menghantar mereka ke luar negara dan yang lain akan dirawat oleh doktor tempatan,” katanya.

Menteri itu berkata kira-kira 24 doktor yang pakar dalam trauma tiba dari Turki - sekutu utama Somalia - manakala Qatar menghantar pesawat serupa pada hari Isnin untuk membantu. – AFP, 29 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen