Polis kesan individu sebar video dakwa perarakan bendera komunis


POLIS sedang mengesan individu yang merakam dan menularkan satu rakaman video mendakwa kononnya ada satu perarakan “membawa bendera komunis” di Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata individu itu dikehendaki untuk membantu siasatan polis kerana apa yang didakwa dalam video itu tidak benar sama sekali.

“Sebenarnya tiada sebarang perarakan yang membawa bendera  komunis berlaku seperti yang ditularkan. 

“Perarakan tersebut adalah sempena Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang ke-11 yang telah berlangsung pada Ahad lalu,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, bendera yang didakwa “bendera komunis” itu sebenarnya adalah bendera pertubuhan sukarela Kiwanis.

Rakaman video lebih kurang 1 minit 15 saat itu disebarkan melalui satu akaun Facebook atas nama “Muhd Shazwan III (Tora-Tora)

Dalam rakaman itu dapat didengar suara seorang lelaki berkata: “Guys, bendera komunis… bendera komunis, tengok. Lokasi di Raja Uda. Perarakan komunis.”

Menurut Noorzainy, perarakan tersebut adalah anjuran kerajaan Pulau Pinang melalui pejabat Exco Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan, Yeoh Soon Hin.

Perarakan itu disertai pelbagai lapisan masyarakat dan pertubuhan, dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perarakan itu juga, kata Noorzainy, dikawal oleh lebih kurang 50 anggota polis dari IPD Seberang Perai Utara.

“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih kebenarannya semata-mata untuk menarik minat netizen yang lain. 

“Sebaiknya pemerhatian yang lebih baik dan jelas dilakukan dahulu sebelum menyebarkan sesuatu maklumat,” katanya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen