Hishammuddin dipanggil mengadap Lembaga Disiplin Umno


Bekas naib presiden Hishammuddin Hussein untuk memberi penjelasan oleh Lembaga Disiplin Umno pada 26 Disember ini atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

LEMBAGA Disiplin Umno memanggil bekas naib presiden Hishammuddin Hussein untuk memberi penjelasan pada 26 Disember ini atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.

Ketua Umno Bahagian Sembrong itu diminta hadir untuk menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti, kata surat tunjuk sebab yang dilihat  oleh The Malaysian Insight.

“Sila ambil perhatian sekiranya YB Dato’ Seri tidak hadir pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan, prosiding Lembaga Disiplin akan diteruskan dan keputusan akan dibuat,” kata pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali dalam surat berkenaan.

Menurut Apandi, lembaga disiplin bersidang pada tarikh tersebut selepas menerima aduan, dan setelah meneliti laporan panel penyiasatan.

Surat tunjuk sebab bertarikh 13 Disember itu juga meminta Hishammuddin memberikan penjelasan secara bertulis.

Beliau juga diminta hadir sesi pendengaran pada 26 Disember dengan membawa bukti, dokumen dan saksi untuk pembelaan, jika ada. 

Di bawah perlembagaan Umno, ahli parti yang dihadapkan ke lembaga disiplin boleh dikenakan hukuman daripada yang paling rendah iaitu amaran sehinggalah yang paling berat iaitu dipecat dari parti.

Ahli yang disabitkan tuduhan juga boleh disekat daripada bertanding jawatan parti atau menjadi calon pilihan raya untuk suatu tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa ahli Umno menggesa parti mengambil tindakan terhadap Hishammuddin atas dakwaan menghasut wakil rakyat Umno keluar parti.

Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam pada 30 Oktober lalu membuat laporan kepada Lembaga Disiplin mengenai penglibatan Hishammuddin yang dikatakan memujuk Ahli Parlimen Umno untuk masuk Bersatu.

Beliau mendakwa Hishammuddin mempengaruhi Ahli Parlimen Umno untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Tindakan Hishammuddin bertentangan dengan keputusan MT Umno yang sudahpun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Lokman itu dikeluarkan selepas hampir 20 Ahli Parlimen Umno termasuk Hishammuddin mengadakan pertemuan di kediaman Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, sebulan yang lalu.

Awal September lalu, beberapa pimpinan atasan Umno menafikan laporan bahawa Hishammuddin pada masa itu sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno.

Laporan tersebut memetik Apandi mengesahkan Hishammuddin sedang disiasat pada ketika itu namun belum ada syor dikemukakan kepada pihak lembaga disiplin. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen