Najib tidak sahkan dengan kementerian luar berhubung derma Arab Saudi  


Bede Hong Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Disember, 2019.

NAJIB Razak tidak membuat semakan sama ada sejumlah besar wang dari Arab Saudi yang didepositkan ke akaun AmBank miliknya adalah daripada keluarga diraja negara itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas perdana menteri berkata, beliau tidak pernah membuat semakan dengan Wisma Putra untuk mengesahkan sama ada Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud yang memindahkan wang ke akaun bank peribadinya, kerana wang yang didakwa derma itu diterima tidak lama selepas beliau mengadakan pertemuan dengan raja itu pada awal 2010.

Ketika diperiksa balas oleh Peguam bela Rahmat Hazlan, Najib memberi keterangan bahawa Raja Abdullah, yang meninggal dunia pada 2015, menyatakan keyakinannya dengan gaya kepimpinan bekas perdana menteri itu.

Ahli Parlimen Pekan itu turut bercakap mengenai penglibatan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Rahmat: Adakah Datuk Seri, pada bila-bila masa, cuba untuk mengesahkan secara rasmi mengenai wang derma daripada Arab Saudi melalui Wisma Putra?

Najib: Tidak

Rahmat: Mengapa tidak?

Najib: Ini kerana pengumuman berhubung derma itu dibuat tidak lama selepas Raja Abdullah secara peribadi menyatakan sokongannya terhadap saya semasa lawatan (ke Arab Saudi) pada Januari, 2010. Berikutan peranan Jho Low, dan perkara lain yang menguatkan lagi kepercayaan saya yang beliau mempunyai hubungan kuat dengan keluarga diraja Arab Saudi dan kerana beliau diiktiraf sebagai perantara, saya tiada sebab untuk meragui kesahihan derma itu.

Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah merahsiakan derma berkenaan dan gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz turut dimaklumkan mengenai dana dalam akaun peribadi Ambank miliknya.

Najib: Perkara itu dimaklumkan kepada AmBank dan semua transaksi dan dokumen dilaporkan kepada Bank Negara dan Tan Sri Zeti sendiri. Tiada isu yang dibangkitkan.

Rahmat: Apa yang buatkan kamu percaya surat ni (empat surat ditender sebagai pameran) sebenarnya daripada keluarga diraja Arab Saudi?

Najib: Surat daripada Jho Low ini, jelas menunjukkan hubungan rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi. Saya dimaklumkan bahawa surat ini turut diserahkan kepada AmBank dan Bank Negara. Saya lega apabila mendapat tahu surat itu dilaporkan kepada Bank Negara dan Tan Sri Zeti sendiri.

Hakikatnya tetap bahawa Bank Negara tidak pernah menaikkan bendera merah antara tahun 2011 hingga 2014 ... Saya percaya semua urus niaga adalah seperti yang dilaporkan.

Pihak pembelaan menghantar empat surat daripada 1 Mac, 2013 hingga 1 Jun, 2014, yang didakwa daripada kerajaan Arab Saudi yang mengesahkan derma itu.

“Ini membentuk asas kepercayaan saya bahawa apa-apa jumlah dalam akaun saya akan digunakan mengikut budi bicara mutlak saya,” kata Najib.

Mahkamah diberitahu bahawa akaun AmBank bernombor terakhir 694 ditutup pada 2013, dan tiga akaun baharu bernombor terakhir 880, 906 dan 898 dibuka selepas perbincangan dengan setiausaha sulitnya Azlin Alias.

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2015.

Najib berkata, akaun berkenaan adalah untuk menerima derma daripada Raja Abdullah, yang beliau akan salurkan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Najib memberitahu mahkamah yang beliu terkejut dengan keterangan oleh saksi pendakwaan sebelum ini bahawa AmBank membenarkan Low menguruskan akaun banknya, bersama pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Najib berkata, ia dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenarannya. Tambahnya, beliau tidak pernah melihat sebarang penyata bank daripada akaun berkenaan dan beliau difahamkan daripada keterangan saksi sebelum ini, penyata itu disorokkan daripadanya oleh Yu.

Najib berkata, beliau hanya mengetahui tentang cek yang beliau keluarkan dan tidak kepada sebarang pemindahan wang ke akaun lain. – 9 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen