Ahli muzik sertai protes anti kerajaan di Colombia 


Lautan penunjuk perasaan memenuhi kawasan tengah dan utara Bogota, Colombia.– Gambar EPA, 9 Disember, 2019.

RIBUAN penunjuk perasaan termasuk puluhan ahli muzik berarak sambil menyanyi dan memukul periuk dan kuali sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Presiden Ivan Duque.

Lautan penunjuk perasaan memenuhi kawasan tengah dan utara Bogota, mendesak perubahan dalam agenda konservatif presiden. 

Laungan “Berambus Duque” turut kedengaran. Anggotapolis turut dikerah untuk mengawasi perhimpunan berkenaan. 

Perarakan yang turut disertai dengan konsert di sepanjang laluan kumpulan berkenaan bagaimanapun tamat tanpa sebarang insiden.

“Kerajaan hanya bersikap acuh tak acuh. Mereka enggan mendengar suara kami, enggan duduk dan berbincang berhubung apa yang mahu dilaksanakan,” kata penuntut universiti Alejandra Obregon, 27, yang mahu akses lebih baik kepada pendidikan awam.

Protes terhadap pentadbiran Duque tercetus sejak tiga minggu lalu, yang hanya bermula dengan mogok dan kemudian bertukar kepada luahan ketidakpuasan hati terhadap dasar ekonomi, pengangguran, rasuah politik dan keganasan melibatkan dadah. – AFP, 9 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen