Kes polio dikesan semula, 27 tahun selepas Malaysia bebas


KEMENTERIAN Kesihatan mengesan kes polio yang pertama di Malaysia, hampir tiga dekad selepas negara bebas daripada penyakit itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes itu dikesan pada seorang bayi warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, yang dipercayai tidak menerima vaksin polio, katanya.

Bayi itu disahkan mengidap polio selepas mengalami demam dan lemah badan, dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital.

“Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham meminta orang ramai termasuk media untuk tidak mengganggu waris dan petugas hospital kerana pesakit masih memerlukan rawatan rapi.

Beliau juga mendedahkan hasil pemeriksaan pihak berkuasa kesihatan sehingga 5 Disember 2019 mendapati 23 daripada 199 atau 11.6% kanak-kanak berumur antara dua bulan hingga 15 tahun di kawasan tempat tinggal bayi berkenaan tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan (virus) hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa kesemua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan dalam pada itu masih menjalankan siasatan di kawasan berkenaan bag mencari kes sama yang lain, kata Noor Hisham.

Sementara itu, bagi memastikan kes polio tidak menular di Malaysia, pihak Kementerian Kesihatan akan memberi imunisasi polio di kawasan kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko.

Noor Hisham juga mengingatkan sebagai negeri yang paling hampir dengan Filipina, Sabah dianggap negeri berisiko dan liputan imunisasi yang tinggi adalah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan polio.

Polio adalah penyakit yang wajib dimaklumkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen