Wanita Umno cadang pimpinannya setaraf timbalan presiden parti


Pergerakan Wanita Umno mencadangkan supaya pimpinan sayap itu diangkat supaya setaraf dengan timbalan presiden parti berbanding taraf naib presiden ketika ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Disember, 2019.

PERGERAKAN Wanita Umno mencadangkan supaya pimpinan sayap itu diangkat supaya setaraf dengan timbalan presiden parti berbanding taraf naib presiden ketika ini.

Ketua pergerakan itu Dr Noraini Ahmad semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Wanita Umno hari ini, berkata Umno memerlukan satu anjakan dalam politik dan sudah tiba masanya kepimpinan Wanita diiktiraf, diangkat dan diletakkan ke taraf yang lebih tinggi dalam parti.

“Saya meminta sokongan dan mandat daripada seluruh perwakilan yang hadir dalam himpunan ini, untuk menyokong agar Wanita Umno diberikan ruang untuk diangkat setaraf Timbalan Presiden Umno,” katanya.

Bercakap kepada media selepas itu, Noraini berkata, perkara itu memerlukan pindaan perlembagaan parti dan satu usul akan dikemukakan nanti.

“Ia akan memberikan pimpinan Wanita kuasa menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden sekiranya pemimpin kanan itu tidak dapat meneruskan tugas….berharap usul khas ini akan dipersetujui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Pemuda, pula mengakui kerajaan terdahulu mempunyai banyak kelemahan, ketirisan dan kepincangan membuatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang belum sempurna walaupun sudah 61 tahun merdeka dan banyak kejayaan telah dicapai.

“Benar, selama 61 tahun Malaysia bukanlah sebuah negara sempurna! Banyak kelemahan, wujud ketirisan, berlaku kepincangan di sana sini,” katanya.

Ketua Puteri Zahida Zarik Khan dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Puteri membangkitkan mengenai limpahan pengundi muda yang akan menentukan keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Dijangkakan dalam tahun 2023, dengan perubahan ini keseluruhan pengundi kita sekitar 23 juta orang berbanding 14.9 juta dalam PRU14. Ini adalah peningkatan sebanyak 50 peratus,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2019 akan bersidang selama dua hari bermula esok. – Bernama, 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen