Penyanyi Nassier Wahab meninggal dunia


Penyanyi Nassier Wahab meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, jam 12.45 pagi tadi, pada usia 57 tahun. – Gambar Facebook, 5 Disember, 2019.

PENYANYI Nassier Wahab meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, jam 12.45 pagi tadi, pada usia 57 tahun, lapor BH Online.

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas muntah darah sebelum itu, kata pembantu peribadinya Ariff Salim,

“Seperti semua sedia maklum, arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kemoterapi.

“Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.

“Saya dan isteri arwah yang berada di sisinya terus meminta bantuan doktor. Tiba-tiba saja semuanya berlaku. Pada 12.45 pagi, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada,” katanya seperti dipetik daripada akhbar itu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Cinta Luka itu meninggalkan seorang balu Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Jenazah akan dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi ini untuk urusan pengebumian.

Nassier yang berasal dari Pulau Pinang memulakan karier menyanyi dan berlakon sejak era 1980-an, dan turut popular dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu.

Beliau turut menyertai musim kedua Gegar Vaganza (GV) hingga ke peringkat akhir pada 2015 dan mendapat tempat keempat.

BH Online sebelum ini melaporkan penyanyi itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen