Polis tumpaskan sindiket curi mesin bitcoin


SEMBILAN lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia ditahan, dalam beberapa serbuan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah sejak September hingga 27 November, berhubung kes kecurian mesin bitcoin di Pulau Pinang dan Kedah, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor berkata, semua mereka berusia 21 hingga 37 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas, susulan laporan polis dibuat pemilik sebuah stor “server bitcoin” di Bertam, selepas premisnya dipecah masuk dan 20 set mesin serta penjana tenaga bitcoin dicuri, dalam kejadian 5.10 pagi, 27 Ogos lepas.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa menerima isyarat menerusi telefon bimbitnya berhubung kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stor tersebut telah diusik, sebelum lelaki berkenaan terus bergegas ke premisnya dan mendapati pandangan CCTV telah dialih.

“Lelaki itu mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga berada di hadapan pintu premisnya dan dua lelaki sedang memanjat tangga, manakala seorang lagi berada di tempat pemandu sebelum dia bertindak memandu serta meletakkan kenderaannya di hadapan kereta suspek bagi menghalang mereka lari.

“Namun, sebuah kereta jenis Proton Wira menghampiri kenderaan mangsa sebelum seorang lelaki keluar dan bertindak mengetuk cermin hadapan kenderaannya dengan menggunakan besi, menyebabkan mangsa mengundurkan kereta jenis Proton Iriznya, kerana bimbang keselamatannya.

“Pemandu Proton Saga turut melanggar kereta mangsa di bahagian hadapan sehingga kemek, sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya pada sidang media, di Kepala Batas hari ini.

Noorzainy berkata ekoran laporan polis itu, pihaknya melakukan risikan dan intipan, sebelum berjaya menumpaskan sindiket tersebut, yang didalangi lelaki berusia 37 tahun itu, yang turut menjalankan perniagaan bitcoin di Sungai Petani.

Katanya setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket itu, dengan dalang utama memberi arahan kepada sembilan suspek lain, untuk mencuri mesin dan penjana tenaga bitcoin di mana-mana premis yang menjalankan perniagaan itu, sebelum mereka menjual semula kepada lelaki tersebut dengan harga RM200 hingga RM300 seunit.

Beliau berkata sembilan lagi suspek termasuk wanita Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri itu, berperanan melakukan jenayah pecah stor atau premis, sebelum mereka mencuri mesin serta penjana tenaga bitcoin yang bernilai RM3,000 setiap unit itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu terlibat lima kes pecah stor dan curi mesin bitcoin di daerah SPU, Seberang Perai Tengah, Sungai Petani dan Kulim sejak beberapa bulan lepas, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

“Susulan penahanan semua mereka, polis merampas tukul besi, besi pahat, pisau, playar, spanar dan 42 unit mesin dan penjana tenaga bitcoin bernilai RM84,000. Selain dalang utama yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu, dua lagi suspek turut mempunyai empat dan 16 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya. – Bernama, 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen