Yayasan Akalbudi miliki 7 akaun simpanan tetap, kata saksi


MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi, organisasi yang Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pengasasnya, mempunyai tujuh akaun simpanan tetap masih aktif berjumlah RM17.95 juta pada 2016.

Royasmin Mohd Roddy, 43, kerani Affin Bank cawangan Jalan Bunus berkata maklumat itu diperoleh ketika beliau diarahkan oleh pegawainya, Narimah Miswadi untuk menyediakan borang permohonan kiriman wang dari yayasan itu.

“Semasa saya menyediakan borang kiriman wang tersebut saya telah menyemak akaun-akaun Yayasan Akalbudi dan mendapati Yayasan Akalbudi mempunyai tujuh simpanan tetap yang masih aktif berjumlah RM17,953,191.04,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari keenam kes bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ketika merujuk kepada borang permohonan kiriman wang Affin Bank bertarikh 23 Jun 2016 itu, Royasmin yang berkhidmat dengan bank tersebut sejak 1996, mengesahkan bahawa ia adalah permohonan kiriman wang daripada Yayasan Akalbudi berjumlah RM17,953,185.21 kepada Messrs Lewis & Co.

 “Berdasarkan kepada borang kiriman wang tersebut, saya juga ada menyediakan satu banker’s cheque (cek jurubank). Saya telah menyerahkan borang kiriman wang dan banker’s cheque yang masih belum ditandatangan kepada Puan Narimah Binti Miswadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Narimah yang merupakan saksi pendakwaan keenam dalam keterangannya sebelum ini berkata Ahmad Zahid mengarahnya mengeluarkan wang berjumlah RM17,953,185.21 dalam akaun simpanan tetap yayasan itu bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah yayasan berkenaan semasa berjumpa dengan Ahmad Zahid pada 16 Jun 2016 di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. 

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-10, Naib Presiden Kanan Ambank Berhad (Ambank) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kad kredit dan kawalan penipuan, Yeoh Eng Leong, 58, berkata beliau tidak tahu sama ada Ahmad Zahid menandatangani 35 cek untuk membayar kad kreditnya kepada Ambank.

Semasa pemeriksaan balas peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, Yeoh berkata beliau tidak tahu sama tandatangan di 35 cek yang dibayar kepada bank dibuat menggunakan cap dan bukan tulisan tangan.  

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama, 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen