Lebih 30,000 penduduk Narathiwat terjejas banjir


Sebanyak 209 kampung di 11 daerah di Wilayah Narathiwat terjejas banjir susulan hujan lebat dan peningkatan paras air Sungai Golok. – Gambar EPA, 3 Disember, 2019.

LEBIH 30,000 penduduk daripada 209 kampung di 11 daerah di Wilayah Narathiwat terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat dan peningkatan paras air Sungai Golok.

Gabenor Narathiwat, Ekkarat Leesen berkata daerah yang terjejas ialah Sukhirin, Waeng, Sungai Kolok, Sungai Padi, Chanae, Rangae, Rueso, Si Sakhon, Tak Bai, Yingo dan Mueang.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 20 buah sekolah di Wilayah Narathiwat diarahkan tutup berikutan banjir.

“Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan banjir dan paras air sungai.

“Usaha akan diteruskan untuk memindahkan mangsa ke tempat selamat selain menyediakan makanan dan minuman serta bahan-bahan keperluan lain untuk mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata setakat ini 150 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Tesaban 4, Sungai Kolok.

Hujung minggu lalu, Ekkarat mengumumkan tiga daerah iaitu Sukhirin, Sungai Golok dan Sungai Padi merupakan kawasan bencana alam. – Bernama, 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen